Aktivis pelarian bagai ‘pahlawan’ berdepan tragedi, kekecewaan

Aktivis pelarian bagai ‘pahlawan’ berdepan tragedi, kekecewaan

Pengalaman mereka yang mencabar memberi inspirasi untuk meneruskan perjuangan hak kemanusiaan.

Elise Arya Chen (berbaju merah) bersama pemimpin dan wakil pelarian dalam sebuah sesi latihan.
PETALING JAYA:
Banyak kisah tragis dialami Elise Arya Chen selama empat tahun bekerja dengan pelarian, tetapi kes yang masih menghantuinya membabitkan seorang bayi lelaki dari Myanmar yang meninggal dunia beberapa hari sebelum hari jadi pertamanya.

Bayi itu sepatutnya boleh diselamatkan kalau bukan disebabkan apa yang dikatakan Chen sebagai “cabaran sistematik”.

Pertama, beliau terpaksa mencari dana untuk pembedahan pemindahan organ bagi kanak-kanak tersebut.

Kemudian beliau perlu mencari doktor yang sanggup menjalankan pembedahan ke atas bayi, risiko yang Chen percaya membimbangkan mereka.

Setelah beliau akhirnya menemui pakar dari negara jiran, ada kemungkinan bayi itu tidak lagi dapat menjejakkan kaki ke Malaysia.

Chen kemudian mendekati Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dengan harapan dapat membantu keluarga itu mencari penempatan, namun apabila tidak berjaya, beliau mula mencuba nasib di pelbagai kedutaan.

Akhirnya, satu kedutaan bersetuju tetapi kanak-kanak itu meninggal dunia hanya beberapa hari sebelum penempatan semulanya dijadualkan.

Pengalaman itu membuatkan Chen lebih kecewa.

“Ada kalanya, saya rasa nak berputus asa. Dalam banyak-banyak kes, ini yang saya (paling) mahukan berjaya,” kata Chen, yang menghadiri majlis pengebumian bayi itu pada 2019.

Elise Arya Chen menghantar bantuan makanan di Pudu, di mana terdapat populasi besar pelarian Burma, selepas kawasan berkenaan diletakkan bawah perintah kawalan pergerakan separa diperketatkan bulan lalu.

Namun, Chen mendapati semua cabaran dan rintangan yang dihadapinya – kadangkala menyakitkan, namun mengobarkan semangat – hanyalah sebahagian daripada kitaran perjalanannya sebagai seorang aktivis.

Ada masanya beliau berasa kecewa dan marah, namun itu juga mendorongnya untuk terus berusaha memperbaiki sistem, dengan matlamat utama untuk memainkan peranan di mana beliau boleh mempengaruhi perubahan dasar.

Di kala Chen masih mencari mekanisme yang tepat untuk menangani trauma yang dihadapinya itu, pekerjaannya itu membolehkannya melihat kedua-dua sisi dalam isu membabitkan pelarian.

Walaupun tidak menyokong tribalisme, Chen faham asal usulnya, dan bagaimana ia dipupuk oleh politik menentang “orang luar” yang sering dijadikan kambing hitam.

Inilah sebabnya mengapa Chen mahu rakyat Malaysia mengambil pendekatan yang lebih berperikemanusiaan. Beliau menyeru orang ramai untuk menghulurkan bantuan, bukan mengkritik.

Baginya, orang ramai mesti faham jenis trauma yang dilalui pelarian – daripada keganasan sehinggalah serangan seksual.

“Satu perkara yang perlu kita lakukan adalah tunjuk rasa belas kasihan. Kita perlu lebih menunjukkan empati,” katanya.

Fajar Santoadi, 45, seorang warga Indonesia yang berhijrah ke Malaysia pada 2009, secara “tidak sengaja” terlibat dalam kerja-kerja aktivis selepas seorang rakannya ditahan bawah program pemutihan PATI (6P).

Beliau kemudian dirujuk kepada Tenaganita dan pada 2013, menyertai badan bukan kerajaan (NGO) itu sebagai seorang kaunselor.

Fajar, yang menyifatkan dirinya sebagai “migran sukarela”, berkata pengalaman paling dahsyat pernah dihadapinya melibatkan sekumpulan pekerja binaan Rohingya di Johor yang datang kepadanya pada 2016 kerana mereka tidak dibayar gaji.

Segala usaha untuk membantu ternyata sia-sia.

“Ia menyedihkan kerana saya tidak dapat menolong mereka menuntut gaji,” katanya.

“Kami hanya mampu cuba berunding dengan pihak yang terlibat, dan meminta mereka untuk bertimbang rasa. Kadang-kadang menjadi, kadang-kadang tidak,” katanya.

Satu masa dahulu, seni mengubat hati Fajar yang kecewa, namun kini beliau beralih kepada puisi dan penulisan.

Seperti Chen, kisah sedih yang dialaminya menjadi sumber inspirasi.

“Semakin lama saya berada dalam bidang ini, ia membantu saya melawan kekecewaan.”

Amalan utama Fajar adalah tidak membawa hal-hal kerjanya pulang ke rumah.

Beliau tidak bercakap mengenai kerjanya dengan isterinya, seorang rakyat Malaysia yang dikahwininya sebelum berpindah ke Malaysia.

“Saya belajar cara menjauhkan diri, ini cara saya memelihara diri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.