
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Speaker DUN, Ghazale Muhamad.
Katanya, kerajaan negeri dan barisan ADUN sedia mengadakan persidangan itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang menzahirkan pandangan ia perlu dilakukan dalam masa terdekat.
“Perbincangan sudah dilakukan di peringkat kerajaan negeri bagi memuktamadkan tarikh persidangan. Justeru, kami sedang berunding dengan Speaker DUN, Ab Rauf Yusoh yang akan berurusan dengan Yang di-Pertua Negeri bagi mendapat izin bersidang.
“Kita akan dapatkan Julai sebagai gazet tarikh dan ia memerlukan tempoh dua minggu, jadi mungkin dijangka diadakan pada pertengahan Julai,” kata Ghazale menurut laporan Harian Metro.
Beliau berkata, bagaimanapun perkara itu tertakluk kepada izin Yang di-Pertua Negeri.
Ghazale berkata, pihaknya akan memaklumkan butiran lanjut mengenai persidangan itu selepas mendapat tarikh muktamad.
“Terdapat isu yang perlu dibincangkan dalam kalangan Ahli Dewan terutama menjayakan gerakan ekonomi serta kelangsungan hidup rakyat yang terjejas dalam musim perintah kawalan pergerakan 3.0,” katanya.