Wanita hilang kerja, dihalau dari rumah cuba terjun dari tingkat 32 kondo

Wanita hilang kerja, dihalau dari rumah cuba terjun dari tingkat 32 kondo

Seramai 19 anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dikejarkan lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 7.52 malam Khamis.

Seorang wanita cuba terjun dari tingkat 32 sebuah kondominium di Sungai Buloh semalam. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat)
PETALING JAYA:
Tindakan pantas anggota bomba berjaya memujuk dan menyelamatkan seorang wanita yang cuba terjun dari tingkat 32 sebuah kondominium di Sungai Buloh, Selangor semalam akibat tertekan kerana dihentikan kerja dan dihalau dari rumah sewa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata, 19 anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 7.52 malam Khamis.

“Setiba di lokasi, seorang wanita berada di tepi bangunan di tingkat 32 kondominium berkenaan dan cuba membunuh diri.

“Mangsa didapati mengalami masalah peribadi kerana kehilangan kerja dan dihalau dari rumah sewa,” katanya dipetik Harian Metro dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan penyelamat memasang tali keselamatan dan berjaya memujuk wanita itu menjauhi bahagian tepi kondominium itu.

Katanya, wanita itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.