Sindiket program rekalibrasi tumpas, 2 dalang warga Bangladesh ditahan

Sindiket program rekalibrasi tumpas, 2 dalang warga Bangladesh ditahan

Sindiket disyaki mengeluarkan Dokumen Perjalanan Bangladesh secara tidak teratur dan memperdayakan warga Bangladesh dalam urusan Program Rekalibrasi Jabatan Imigresen Malaysia.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket itu menyasarkan warga Bangladesh di negara ini yang telah tinggal lebih masa atau tiada dokumen.
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket menguruskan Program Rekalibrasi Pulang yang beroperasi di sebuah bilik sewa premis kedai di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur pada Selasa 15 Jun serta menahan dua warga Bangladesh yang mendalanginya.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud dipetik Bernama berkata dua lelaki yang ditahan itu berumur 38 dan 53 tahun, termasuk seorang yang juga individu dikehendaki oleh Jabatan Imigresen Negeri Kedah rentetan tangkapan ejen Program Rekalibrasi di negeri itu pada Mac lalu.

Beliau berkata sindiket itu disyaki mengeluarkan dokumen perjalanan Bangladesh secara tidak teratur dan memperdayakan rakyat negara itu dalam urusan Program Rekalibrasi Jabatan Imigresen Malaysia.

“Modus operandi sindiket ini adalah menyasarkan warga Bangladesh yang telah tinggal lebih masa atau tidak mempunyai dokumen di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan maklumat awal, katanya sindiket itu mengenakan bayaran antara RM1,100 dan RM2,600 bagi setiap permohonan rekalibrasi, manakala bagi permohonan mendapatkan dokumen perjalanan, bayaran yang dikenakan adalah antara RM1,000 dan RM1,500.

Dalam serbuan itu, pihak Imigresen menemukan empat pasport, empat dokumen perjalanan Bangladesh yang disyaki untuk digunakan dalam Program Rekalibrasi, puluhan slip janji temu dalam talian (STO) di Pejabat Imigresen Malaysia di pelbagai negeri, borang permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tujuan rentas negeri, dokumen kedutaan Bangladesh dan lapan kad bank.

Berdasarkan slip STO yang ditemukan, sindiket itu disyaki telah menguruskan lebih daripada 200 permohonan sepanjang Program Rekalibrasi dijalankan, katanya.

Khairul Dzaimee berkata kedua-dua warga Bangladesh itu ditahan dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

“Jabatan Imigresen menegaskan tidak pernah melantik mana-mana ejen bagi menguruskan Program Rekalibrasi ini. Orang ramai dinasihatkan supaya berurusan terus dengan jabatan ini dan tidak mempercayai pihak ketiga bagi menguruskan Program Rekalibrasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.