
Ng berkata pihaknya akan mengutus surat kepada Sultan Sharafuddin dalam masa terdekat setelah mengadakan perbincangan berhubung pembukaan sidang DUN bersama Menteri Besar Selangor Amirudin Shari petang semalam.
“Kita sudah berbincang dengan Menteri Besar berhubung perkara ini petang semalam, cadangan tarikh sudah kita tetapkan untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor dalam masa terdekat.
“Kalau sekiranya cadangan kita diperkenan Sultan Selangor untuk DUN Selangor bersidang (namun) masih lagi (dalam tempoh) darurat, Menteri Besar (Amirudin) akan mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon perkenan Seri Paduka untuk diberi kelulusan mengadakan sidang DUN khas,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Ng berkata antara perkara utama yang akan dibincangkan sekiranya sidang DUN Selangor dibenarkan bersidang adalah isu penularan dan menangani Covid-19 serta pembangunan negeri ini yang akan diketengahkan oleh Menteri Besar.
Media melaporkan Raja-Raja Melayu yang menghadiri perjumpaan di Istana Negara pada Rabu menyokong dan senada dengan pendirian Al-Sultan Abdullah agar Parlimen segera bersidang.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad berkata di peringkat negeri pula, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar DUN dibolehkan bersidang secepat mungkin.