Buat masa ini elok vaksin dari dos sama dulu, kata WHO

Buat masa ini elok vaksin dari dos sama dulu, kata WHO

Badan antarabangsa itu berkata, ia bergantung kepada lebih banyak data tersedia dan menggalakkan lebih kajian dibuat berhubung gabungan vaksin.

PETALING JAYA:
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata buat masa ini badan itu hanya mengesyorkan penggunaan vaksin dari jenis yang sama bagi kedua-dua dos suntikan, tetapi ia tertakluk kepada perubahan kerana kajian lanjut mengenainya sedang dijalankan.

Perkara itu susulan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata kerajaan sedang melihat kemungkinan menggunakan vaksin AstraZeneca bagi dos pertama dan Pfizer bagi dos kedua susulan kajian dijalankan di Eropah yang mendapati gabungan itu mungkin memberikan imuniti yang lebih baik terhadap penerima.

“Vaksin Covid-19 dengan ‘WHO Emergency Use Listing (EUL)’ hanya telah dinilai sebagai produk tunggal,” kata Dr Jacqueline Lo, wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura.

Kedua-dua produk vaksin Pfizer dan AstraZeneca sudah diluluskan melalui proses semakan ini.

Sinovac antara vaksin lain yang diperoleh Malaysia telah mendapat kebenaran yang sama WHO sementara suntikan dari CanSino dan Sputnik V Rusia sedang disemak oleh badan dunia itu.

“Dengan maklumat terhad yang ada, adalah disarankan untuk menggunakan produk sama untuk dos kedua. Kami akan memberikan lebih banyak panduan apabila lebih banyak data tersedia ”

Bagaimanapun, Lo berkata, WHO menggalakkan dan mengalu-alukan kajian lanjutan untuk menggabungkan produk yang berbeza.

“Memiliki pilihan untuk ‘campur dan gabung’ (vaksin) akan meningkatkan fleksibiliti dalam logistik dan penjadualan vaksin Covid-19”

Katanya, ujian percubaan yang sedang berlangsung dikendalikan oleh Universiti Oxford sudah pun mula menyelidiki gabungan vaksin AstraZeneca dan Pfizer, kini dikembangkan lagi dengan memasukkan vaksin dari Moderna dan Novavax.

Projek serupa telah dilakukan di Jerman dan Sepanyol, yang mencadangkan penggunaan vaksin AstraZeneca sebagai dos pertama dan Pfizer sebagai dos kedua untuk menghasilkan tindak balas imun yang lebih kuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.