Beberapa lagi lokaliti di Sabah, Kelantan dikenakan PKPD, kata Ismail

Beberapa lagi lokaliti di Sabah, Kelantan dikenakan PKPD, kata Ismail

PKPD selama 14 hari bermula 20 Jun hingga 3 Julai susulan berlaku peningkatan jangkitan Covid-19.

Ismail Sabri Yaakob.
PETALING JAYA:
Kerajaan akan mengenakan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) di beberapa lokaliti di Sabah dan Kelantan.

Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD selama 14 hari bermula 20 Jun hingga 3 Julai itu susulan berlaku peningkatan jangkitan Covid-19.

Katanya, pelaksanaan PKPD melibatkan Grace Villa Condo, Sembulan, Kota Kinabalu, di Sabah selepas lapan individu dikesan positif Covid-19 di lokaliti terbabit.

PKPD juga dikenakan di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pasir Putih, Putatan juga di Sabah apabila sembilan dikesan positif setakat ini.

Beliau berkata, di Kelantan PKPD membabitkan lokaliti Taman Sri Purnama, Mukim Padang PakAmat, Pasir Puteh.

“Sehingga kini, seramai 90 penduduk telah disaring dan 16 daripadanya dilaporkan positif dengan kadar positiviti 17.8%,” katanya ketika melaporkan perkembangan harian pelaksanaan PKP mengekang penularan wabak Covid-19 hari ini.

Ismail turut memaklumkan, PKPD di Kampung Gusi Kinarut, Papar dan Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat, Sabah dilanjutkan sehingga 3 Julai selepas masih berlaku jangkitan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, PKPD di Taman Wawasan, Tawau Taman Pelangi, Semporna, Sabah dan Felda Redong 1, Mukim Labis, Segamat, Johor akan tamat hari ini.

Ismail berkata, PKPD di dua lokaliti iaitu Kampung Tengah Kinarut dan Kampung Benoni di Papar, Sabah turut tamat hari ini sementara tiga perkampungan iaitu Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, Kampung Jelapang Baru, Kampung Sungai Tapah di Mukim Ulu Kinta, Perak akan tamat bermula tengah malam esok.

PKPD di Kampung Air Panas dan Kampung Kuak Luar, Mukim Pengkalan Hulu: Kampung Alai dan Kampung Baharu, Mukim Kerunai Hulu Perak, Taman Kerian Tambahan, Kerian, Taman Berkat, Mukim Matang, Larut-Matang-Selama (LMS), di Perak serta Taman Wangsa, Jalan Telipok, Kota Kinabalu dan Jalan Budi Sri Tanjung, Tawau, di Sabah juga ditamatkan tengah malam esok.

Beliau berkata, semalam polis menahan 759 individu atas kesalahan ingkar SOP di mana 711 daripada dikompaun manakala 48 lagi direman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.