Gabungan pembangkang itu berkata, amat penting untuk Parlimen bersidang semula sekarang supaya semak imbang tadbir urus dan perjalanan pentadbiran Putrajaya dapat dilakukan.
Katanya, Ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan peruntukan perbelanjaan kerajaan untuk membantu rakyat boleh dibahas manakala masalah rakyat dapat didengar.
“Sekiranya perdana menteri terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang Parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau mengetepikan pandangan Tuanku itu, malah ia memberi gambaran perdana menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir,” kata PH dalam kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Semalam, Agong berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyedari peranan penting Parlimen untuk membincangkan isu berkaitan Covid-19.
Pendirian Agong itu turut mendapat sokongan Raja-raja Melayu dalam mesyuarat khas dengan baginda petang semalam.
PH ketika mengucapkan terima kasih kepada Agong berkata, sangat jelas Muhyiddin perlu menjunjung titah dan menasihati Sultan Abdullah untuk mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin.