Lebih RM12 bilion dana pinjaman mudah PKS dilulus setakat 4 Jun, kata Tengku Zafrul

Lebih RM12 bilion dana pinjaman mudah PKS dilulus setakat 4 Jun, kata Tengku Zafrul

Menteri Kewangan berkata dana pinjaman mudah yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia itu akan memberi manfaat kepada 25,680 PKS.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, setakat 4 Jun sejumlah RM67.5 juta telah disalurkan kepada 13,869 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digital.
KUALA LUMPUR:
Jumlah permohonan dana pinjaman mudah perusahaan kecil sederhana (PKS) yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS berjumlah RM12.12 bilion setakat 4 Jun lalu, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, dana pinjaman mudah yang dikendalikan Bank Negara Malaysia (BNM) itu akan memberi manfaat kepada 25,680 PKS.

“Jumlah ini termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Automasi dan Digital (ADF), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) dan Kemudahan Agromakanan (AF).

“Walaupun dana SRF telah dimanfaatkan sepenuhnya, PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Tabung BNM seperti ADF, AES dan AF,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-57 yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, setakat 4 Jun, sejumlah RM67.5 juta telah disalurkan kepada 13,869 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digital.

Bagi pembiayaan sektor pelancongan PENJANA beliau berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM600 juta bagi PKS dan PKS mikro yang masih terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

“Setakat 4 Jun, terdapat 666 permohonan bagi pembiayaan ini dan daripada jumlah ini sebanyak 327 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM65.1 juta,” katanya.

Sementara itu sebanyak RM421.2 juta telah disalurkan dalam tempoh yang sama bagi memanfaatkan 12,667 PKS Mikro termasuk dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan, kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.