
Mengulas Pelan Pemulihan Negara diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, MMA menegaskan kadar kepositifan langsung tidak dibangkitkan.
Kadar kepositifan merujuk kepada ujian saringan yang memberikan keputusan positif dengan kadar lebih tinggi sekali gus menunjukkan penularan penyakit yang lebih meluas dan lebih banyak kes tidak dapat dikesan.
“Dalam pelan pemulihan, ada sasaran untuk mengurangkan kes harian bawah 4,000, 2,000 dan 500 tetapi tidak disebutkan mengenai kadar kepositifan yang disasarkan,” kata Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy dalam kenyataan.
“Kes harian yang turun bawah 4,000 atau 2,000 tidak akan banyak membantu jika kadar kepositifan masih tinggi atau di atas 5%,” katanya, sambil menambah pelan itu tidak memiliki strategi jelas untuk melandaikan penularan Covid-19.
Dalam ucapannya Selasa lalu, Muhyiddin menjelaskan pelan ke arah pemulihan negara daripada pandemik Covid-19 akan dilalui dalam empat fasa berdasarkan tiga petunjuk utama; jumlah purata kes harian, keupayaan sistem kesihatan awam dan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan.
Data daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kementerian Kesihatan menunjukkan kadar kepositifan negara antara 5.67% hingga 7.89% bulan ini – secara konsisten di atas penanda aras 5% yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Subramaniam berkata, rancangan pemulihan negara tidak menyebutkan sasaran untuk vaksinasi sektor pembuatan, pembinaan, perkhidmatan dan runcit serta tiga hingga empat juta pekerja asing tanpa dokumen menunjukkan kebanyakan kluster tempat kerja yang dilaporkan setiap hari adalah dalam sektor pembuatan dan pembinaan.
Jelasnya, satu garis masa juga perlu ditetapkan untuk mencapai sasaran menarik 5,000 pengamal perubatan swasta yang akan dapat melaksanakan sekurang-kurangnya 150,000 vaksinasi setiap hari.
Walaupun vaksinasi perlu menjadi “keutamaan” dalam Pelan Pemulihan Negara perlu juga ada sasaran ditetapkan untuk saringan ke atas penduduk terutama di kawasan “hotspot” di seluruh negara.
Menyedari peningkatan kes secara sporadik di negara ini yang menurutnya menjadi petunjuk jangkitan semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat, Subramaniam berkata, peningkatan ujian saringan diperlukan untuk mengesan dan mengasingkan mereka yang dijangkiti dengan pantas, sesuai dengan sistem WHO, cari, uji, jejak, asing dan rawat.
“Sejauh mana penyebaran dalam kalangan komuniti hanya akan diketahui apabila kita menyaring komuniti,” katanya.
“Ujian saringan ini amat penting sebelum memutuskan untuk melonggarkan sekatan, membuka sektor dan melangkah ke fasa berikutnya.
“Kerajaan perlu belajar daripada kesilapan lalu apabila melonggarkan sekatan dan membuka sektor terlalu awal tanpa ujian secukupnya ke atas kadar sebaran luas Covid-19.”