
Beliau berkata, Yayasan YTL menyumbang 20,000 unit telefon jenama YES untuk diedarkan kepada pelajar miskin dan B40 dengan 13,000 daripadanya diberikan kepada pelajar yang layak di seluruh Perak yang turut disertakan dengan pelan data setahun.
“Ia bagi memastikan golongan berkenaan tak tercicir dalam arus pelajaran dan membolehkan mereka menggunakan telefon pintar ini semasa PdPR.
“Memang ia adalah telefon pintar yang ada kemudahan 1GB RAM, 8GB memori mencukupi untuk PdPR. Ia mencukupi dan ia digunakan secara meluas oleh 100,000 pelajar di seluruh Malaysia.
“Oleh itu kita terima tawaran (Yayasan YTL) secara percuma. Kita telah lancarkannya semasa kita mengadakan program mesra rakyat di Parlimen Parit, daerah Perak Tengah sebelum ini,” katanya pada sidang media maya hari ini.
Beliau mengulas dakwaan beberapa pihak bahawa telefon yang dibekalkan kerajaan negeri untuk PdPR itu berkualiti rendah dan tidak sesuai digunakan.
Semalam Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi tangkap layar daripada media sosial memaparkan telefon pintar yang dibekalkan kerajaan kepada pelajar terbakar selepas digunakan tidak sampai sebulan.
“Anak buah tengah ‘online’ PDPR menggunakan telefon…tiba-tiba terbakar, baru sahaja dapat tidak sampai satu bulan, sedih rasanya.
“Belanja lebih sedikit untuk pendidikan pelajar,” kata bekas menteri belia dan sukan itu mengulas isu kualiti telefon pintar yang dibekalkan kepada pelajar.
Saarani berkata, tidak manis untuk kerajaan negeri menolak sumbangan telefon pintar berkenaan kerana ia dapat membantu pelajar B40 mengikuti PdPR melalui platform disediakan.
Ditanya sama ada kerajaan negeri akan menyiasat dakwaan terdapat telefon yang dibekalkan terbakar dan membahayakan pelajar, beliau berkata: “Daripada 100,000 unit yang telah diedarkan, hanya satu yang terbakar, takkan itu nak dijadikan punca untuk kerajaan negeri buat siasatan?”