
Beliau berkata, parti itu menerima surat balas daripada JPPM bertarikh 11 Jun berhubung permohonan yang dikemukakannya bulan lalu.
Katanya, surat itu memutuskan pelaksanaan mesyuarat agung tahunan bagi semua pertubuhan berdaftar, termasuk parti politik perlu ditangguhkan sepanjang tempoh PKP 3.0.
“JPPM juga meminta pihak kami mengemukakan cadangan tarikh pelaksanaan kongres DAP yang baharu dan SOP tambahan sebaik sahaja tempoh PKP berakhir.
“Sehubungan itu tarikh baru kongres DAP hanya boleh ditentukan selepas tempoh PKP ditamatkan,” katanya dalam kenyataan.
Pada 5 Okt 2020, DAP menghantar surat rayuan kepada JPPM untuk menangguhkan kongres tahunan yang sepatutnya diadakan pada 20 Dis 2020 sekurang-kurangnya enam bulan lagi susulan keadaan semasa dan jumlah kes baharu Covid-19 yang tinggi ketika itu.
Susulan itu Loke pada 7 Dis tahun lalu berkata, JPPM memberi kebenaran kepada DAP untuk menangguhkan kongres itu sebelum 30 Jun ini.
Tetapi pada 17 Mei lalu, DAP sekali lagi memohon kongres tahunannya yang dijadualkan berlangsung pada 20 Jun ini ditunda ke tarikh lain disebabkan situasi semasa Covid-19 dan PKP 3.0 yang melarang sebarang bentuk mesyuarat serta perhimpunan diadakan.