Beri kami kebebasan kaji isu transgender, kata SUHAKAM

Beri kami kebebasan kaji isu transgender, kata SUHAKAM

Pesuruhjaya SUHAKAM Hishamudin Yunus berkata isu transgender adalah satu “medical condition” yang mana ia tidak dapat dirawat.

PETALING JAYA:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) harus diberi kebebasan untuk mengkaji keperluan undang-undang khusus bagi mengiktiraf jantina ketiga dalam negara ini, kata pesuruhjaya badan itu.

Pesuruhjaya Hishamudin Yunus berkata, isu transgender adalah satu “medical condition” yang tidak dapat dirawat dan akan membelenggu seseorang itu seumur hidup.

“Jantina ketiga adalah mereka yang dilahirkan lelaki atau perempuan tetapi mempunyai “jiwa” yang bertentangan dengan fitrahnya.

“Bagi Suhakam, kita tak boleh menidakkan hak asasi seseorang itu semata-mata kerana dia dilahirkan sebagai transgender,” katanya kepada FMT.

Malah bekas hakim Mahkamah Rayuan itu berkata, tiada undang-undang yang mengatakan menjadi seorang transgender adalah salah di sisi undang-undang.

“Tidak ada undang-undang atau enakmen negeri mengatakan jika seseorang itu dilahirkan transgender, ia menjadi kesalahan kerana ia adalah sifat semula jadi,” katanya.

Terdahulu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta SUHAKAM menjelaskan projek penyelidikan yang dijalankannya mengenai perundangan untuk mengiktiraf jantina ketiga di negara ini.

Ini susulan hantaran suruhanjaya berkenaan di media sosial mencari penyelidik untuk mengkaji kebolehlaksanaan undang-undang berhubung isu itu.

Menurut SUHAKAM, projek penyelidikan itu dijangka berjalan selama lima bulan bermula dari tarikh pelantikan dengan tarikh tutup permohonan pada 30 Jun.

Bagaimanapun warganet menyifatkan kajian itu sebagai pembaziran masa dan sumber.

Mengulas lanjut Hishamudin berkata, kajian berkenaan hanyalah kajian dalam badan itu dan tidak membabitkan orang awam.

“Kita baru peringkat nak kaji, perkara ini adalah urusan dalaman dan bila kita nak buat kajian sudah tentu kita akan iklankan untuk dapatkan penyelidik,” katanya yang menganggap kekecohan itu sebagai satu salah faham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.