
Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye, yang juga bekas timbalan menteri kesihatan berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mendapat kebenaran KKM sebelum meluluskan kedai vape untuk beroperasi
“Dan KKM tidak akan menyokongnya,” katanya kepada FMT.
Namun kedai vape masih beroperasi secara terbuka di seluruh negara.

Katanya, kedai terbabit membahayakan nyawa kerana tahap nikotin dalam vape tidak dikawal selia.
“Bahkan vape tidak dilabel dengan betul. Apabila pegawai kesihatan menghantar cecair vape ke makmal untuk diuji, label dan kandungan cecairnya berbeza,” katanya.
Nikotin adalah racun berjadual di bawah Akta Racun tetapi “pengeluar” vape dilihat mempunyai akses mudah kepada nikotin dari China, katanya.
Penguatkuasaan bagi kedai-kedai vape berada di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). FMT sedang mendapatkan komen daripada kementerian berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali memberitahu FMT, KKM tidak memberi kelulusan bagi sebarang vape atau rokok elektronik yang mengandungi nikotin.
Pengeluar vape membeli nikotin dan cecair vape lain dari China tanpa membayar cukai, menurut seorang pegawai Kastam yang telah bersara.
Duti eksais bagi cecair vape tanpa nikotin diperkenalkan dalam Belanjawan 2021, membuka peluang bagi cecair vape yang tidak dikawal selia.
Jabatan Kastam sebelum ini berkata, kutipan eksais untuk cecair vape berjumlah kurang daripada RM100,000 pada suku pertama tahun ini, jauh lebih rendah daripada hasil duti eksais RM300 juta yang dianggarkan Dewan Perniagaan Vape Malaysia.

Barjoyai Bardai, ahli ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, kerajaan perlu mencari jalan untuk mengawal penjualan rokok dan vape haram dalam pasaran gelap.
“Syarikat rokok dikenakan banyak cukai, menyebabkan produk pasaran gelap lebih mendapat permintaan,” katanya.
Tambahnya, syarikat-syarikat rokok antarabangsa mungkin satu hari akan beralih kepada Indonesia supaya dapat berhenti bergelut dengan rokok haram dan cukai tinggi.
Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia sebelum ini berkata, terdapat kira-kira 1.12 juta penghisap vape di Malaysia.