Long Pasia lokasi pertama program pemberian vaksin bergerak

Long Pasia lokasi pertama program pemberian vaksin bergerak

Penduduk di Long Pasia sebelum ini merayu kepada kerajaan supaya menghantar pasukan untuk melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 di perkampungan itu yang terletak kira-kira 128 kilometer dari pekan Sipitang.

Program Jiwa Murni membabitkan 26 pasukan akan membantu penduduk kawasan pedalaman Sabah mendapatkan vaksin Covid-19, kata Hajiji.
KOTA KINABALU:
Kampung Long Pasia di Sipitang menjadi lokasi pertama program bergerak bagi pemberian vaksin kepada penduduk di kawasan pedalaman Sabah yang dilaksanakan melalui Program Jiwa Murni.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, Program Jiwa Murni yang bergerak ke kawasan pedalaman itu membabitkan 26 pasukan dengan satu pasukan bagi setiap satu daerah yang sudah pun bermula sejak 18 Mei lalu.

“Turut membantu ialah angkatan tentera (ATM) yang turut menghantar pasukan perubatannya untuk memberi vaksin kepada penduduk di pedalaman negeri ini menerusi Program Jiwa Murni dan lokasi pertama untuk program ini akan diadakan di Long Pasia,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Wisma Wanita di sini, hari ini.

Hajiji berkata, program jangkau luar komuniti atau “outreach” untuk mendaftar penduduk sebagai penerima vaksin Covid-19 yang diketuai Jabatan Penerangan Sabah bersama jabatan dan agensi berkaitan telah digerakkan dan dipertingkatkan.

Katanya, ia bagi memastikan lebih ramai penduduk di pedalaman Sabah mendaftar untuk menerima vaksin.

Sebelum ini, FMT melaporkan penduduk di Long Pasia merayu kepada kerajaan supaya menghantar pasukan untuk melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 di perkampungan berkenaan.

Perkampungan berkenaan terletak jauh di pedalaman Sabah, iaitu kira-kira 128 kilometer dari pekan Sipitang dan mempunyai lebih 500 penduduk.

Wakil penduduk Andrew Laban berkata, hampir semua atau 99% daripada penduduk di Long Pasia belum menerima vaksin sehingga kini.

Katanya, ia disebabkan oleh beberapa faktor, termasuklah lokasi kampung berkenaan yang agak jauh selain keadaan teknologi maklumat yang masih agak ketinggalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.