Keluasan hutan simpanan kekal Chini akan ditambah

Keluasan hutan simpanan kekal Chini akan ditambah

Susulan saranan Pemangku Raja Pahang semalam, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian dan Jabatan Perhutanan negeri telah diminta mengambil tindakan segera, kata MB Pahang.

Peluasan kawasan hutan simpan kekal Chini wajar sekali gus dapat menambah liputan kawasan hutan demi memelihara dan memulihara mutu alam sekitar Tasik Chini, kata Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Kawasan Hutan Simpanan Kekal Chini, Pekan akan diperluas daripada 4,600 hektar kepada 6,000 hingga 7,000 hektar seperti yang disarankan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah semalam.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian dan Jabatan Perhutanan negeri telah diminta mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti kawasan tambahan seterusnya mengurus proses pewartaannya.

Menurut beliau, peluasan berkenaan wajar sekali gus dapat menambah liputan kawasan hutan demi memelihara dan memulihara mutu alam sekitar Tasik Chini, yang luas badan airnya sahaja antara 200 hektar dan 700 hektar mengikut musim.

“Peluasan ini juga dapat memberi keberkesanan lebih tinggi kepada usaha untuk menepati kehendak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB) di bawah program “Man and Biosphere UNESCO” diiktiraf sejak 2009 sebagai kawasan rizab biosfera pertama di Malaysia berlandaskan tiga teras utama yang berkaitan dengan pemuliharaan ekosistem, termasuk spesies dan hidupan, sokongan logistik termasuk aktiviti penyelidikan dan pembelajaran serta pembangunan melibatkan ekonomi penduduk setempat.

“Bagi menjayakan ketiga-tiga teras utama ini, TCRB dibahagikan kepada tiga zon, iaitu Zon Teras, Zon Penampan dan Zon Peralihan dengan fungsinya yang berbeza, malah dengan keluasan maksimum kira-kira 7,000 hektar seperti titah saranan Tengku Hassanal, ia sangat memadai bagi menjayakan TCRB secara lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga akan berusaha untuk menyegerakan kerja-kerja penanaman semula hutan dengan memperuntukkan RM10 juta lagi bagi tujuan itu.

Setakat ini sebanyak RM250,000 dibelanjakan untuk aktiviti itu, katanya.

Selain itu katanya, aktiviti penguatkuasaan akan terus diperkasakan termasuk pemantauan menggunakan teknologi “Light Detection Radar” (LIDAR) yang akan dilaksanakan secara bersepadu serta berkala melibatkan agensi penguatkuasaan negeri dan persekutuan.

Semalam Tengku Hassanal menitahkan supaya kawasan Hutan Simpanan Kekal Chini seluas 4,600 hektar ditambah kepada 6,000 hingga 7,000 hektar bagi menjaga kepentingan flora dan fauna di kawasan Tasik Chini serta persekitarannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.