Jangan ambil jalan pintas beri kelulusan vaksin, kata badan pemikir

Jangan ambil jalan pintas beri kelulusan vaksin, kata badan pemikir

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial menentang seruan untuk memintas NPRA.

Terdapat isu kekurangan bekalan vaksin di peringkat globa dan masalah dihadapi Malaysia tidak akan dapat diselesaikan dengan meluluskan lebih banyak jenis vaksin, kata seorang pakar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan harus tegas menolak gesaan untuk memintas Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan mempercepat kelulusan bagi vaksin Covid-19, kata sebuah badan pemikir.

Ketua pegawai eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, mengambil jalan mudah untuk memintas NPRA bukan tindakan yang tepat.

“NPRA adalah penjaga keselamatan ubat-ubatan di negara ini, mereka teliti dan ketat. (Badan berkenaan) mempunyai mandat dari segi undang-undang untuk memastikan ubat-ubatan yang digunakan di sini selamat,” katanya.

Memintas NPRA boleh menyebabkan rasa selamat yang palsu, bahkan membenarkan kelulusan vaksin yang mungkin membawa kesan sampingan yang tidak dijangka.

“Jika kita (buat keputusan) salah, kita akan kehilangan keyakinan masyarakat dan ini akan membawa bencana ketika menangani Covid-19,” katanya.

Segelintir ahli politik baru-baru ini menggesa kerajaan agar memintas kerenah birokrasi dalam mendapatkan kelulusan bagi vaksin Covid-19 untuk digunakan di negara ini.

Setakat ini NPRA telah meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech, Sinovac, dan AstraZeneca.

Azrul berkata, Malaysia sebenarnya telah memperoleh lebih daripada cukup vaksin untuk populasi namun masalahnya terletak pada isu penghantaran vaksin.

Meluluskan lebih banyak vaksin tidak semestinya dapat menyelesaikan masalah penghantaran kerana terdapat kekurangan bekalan vaksin di peringkat global, katanya.

Mereka yang menggesa agar lebih banyak vaksin diluluskan turut mengemukakan fakta bahawa beberapa vaksin yang sedang disemak oleh NPRA telah mendapat kelulusan bagi penggunaan kecemasan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Wakil tempatan WHO Dr Jacqueline Lo memberitahu FMT bahawa terdapat keperluan penyelidikan dan klinikal, serta keperluan pembuatan dan kawalan kualiti, selain komitmen susulan kelulusan vaksin.

Katanya, agensi regulatori kebangsaan seperti NPRA memainkan peranan penting dalam memastikan vaksin yang digunakan di negara ini dinilai dengan betul dan memenuhi standard kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

Tambahnya, tiga vaksin yang digunakan di Malaysia telah menerima status penggunaan kecemasan dan diluluskan penggunaannya oleh NPRA tepat pada waktunya.

Azrul berkata, kekurangan vaksin yang dihadapi Malaysia turut dialami banyak negara lain.

“Kita menerima akibat kerana lambat memperoleh vaksin yang mencetuskan kecenderungan untuk mengambil jalan pintas dari segi lain seperti kelulusan daripada NPRA.

“Varian Delta contohnya, kita tidak tahu bagaimana vaksin akan bertindak terhadap varian-varian itu,” katanya.

Beliau berkata, Singapura turut berhati-hati dalam meluluskan vaksin dan banyak negara lain, melalui agensi kawal selianya, tidak meluluskan vaksin dalam senarai penggunaan kecemasan WHO.

Berkenaan mengapa Malaysia tidak boleh terus meluluskan vaksin hanya kerana ia mendapat kelulusan WHO untuk penggunaan kecemasan, Azrul berkata, ujian klinikal di seluruh dunia menunjukkan bahawa setiap individu mempunyai tindak balas berbeza terhadap vaksin disebabkan pelbagai faktor termasuk pemakanan, komposisi etnik dan sebagainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.