
Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyiapkan kertas kerja berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
“Umum mengetahui insiden berlaku baru-baru ini yang melibatkan sensitiviti keagamaan. Pihak berkuasa telah menjalankan siasatan dan kita sedia menanti keputusannya.
“Malaysia bukanlah baharu berumur setahun jagung. Kita sudah hidup lebih 60 tahun bersama. Jika diumpamakan seperti manusia, sudah memutih uban di kepala. Amat luas ilmu dan pengalamannya,” katanya di Facebook.
Zulkifli berkata, semangat muhibah yang dibina sejak puluhan tahun sudah pasti tidak mudah dirobohkan hanya kerana satu dua isu.
Namun katanya, perkara yang dipandang remeh itulah kadangkala boleh mencetuskan api yang amat marak dan memerlukan kebijaksanaan dalam mempertimbangkan isu dan permasalahan.
“Perbezaan adalah lumrah manusia. Kita ada hati, akal dan pengalaman yang sudah pasti membentuk sudut pandang yang berbeza dalam 1,001 perkara. Bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree) pada saya adalah selamanya ramuan terbaik dalam mengurus sebarang bentuk perbezaan.
“Sebagaimana bola dan kedai mamak boleh menyatukan semua bangsa tanpa mengira latar belakang politik, pendidikan dan warna kulit, saya fikir kita juga ada pelbagai bentuk alasan untuk terus hidup dalam semangat muhibah daripada memilih untuk berseteru dan menimbulkan provokasi pada prinsip-prinsip utama agama,” katanya.
Sebelum ini polis menahan enam lelaki warga tempatan berhubung insiden seorang pelanggan dipukul sekumpulan penghantar makanan di Sungai Way, Jumaat lalu, dipercayai berpunca daripada perbuatan menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama.