
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Aibee Abd Ghani, berkata wanita berusia 40 tahun itu dipercayai berurusan dengan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp selepas terpedaya tawaran pinjaman yang mengenakan kadar faedah serendah 1.38% dalam Facebook pada 7 Jun.
“Pengadu diminta menghantar butir peribadi serta mengisi borang pemohonan secara dalam talian selain perlu menunggu selama tiga hari untuk kelulusan pinjaman bank kemudian pada Khamis lepas, dia menerima e-mel menyatakan pinjaman RM100,000 diluluskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semasa proses kelulusan itu, pengadu diperdaya untuk membuat beberapa pembayaran ke dalam tiga akaun dengan jumlah kerugian RM42,425.
Wanita itu sekali lagi terpedaya dengan tawaran sama dengan sindiket kedua dan berurusan dengan individu berlainan untuk memohon pinjaman RM100,000 pada 8 Jun serta berdepan situasi serupa yang menyaksikan mangsa membuat transaksi ke beberapa akaun bank seperti diarahkan sehingga kerugian RM74,520.
Aibee berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Mantin pagi tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.