
Mengulas kenyataan Kementerian Dalam Negeri mengenai masyarakat itu dan pendatang lain baru-baru ini, Liew yang juga bekas timbalan menteri pertahanan berkata, pada 2016, perdana menteri ketika itu, Najib Razak dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang menunjukkan kesatuan atas nama solidariti dengan masyarakat Rohingya.
Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut bertemu di Kuala Lumpur pada Januari 2017 untuk menyeru agar operasi ketenteraan dihentikan dan status Rohingya dikembalikan, katanya.
Liew turut berkata, Malaysia di bawah pemerintahan Najib dan dengan Hishammuddin Hussein sebagai menteri pertahanan menghantar sepasukan doktor dan anggota kor perubatan angkatan tentera untuk mendirikan sebuah hospital medan di Cox’s Bazar, Bangladesh.
Beliau difahamkan bahawa kerajaan Bangladesh pada awalnya tidak menyukai idea anggota tentera Malaysia dikerahkan untuk membantu pelarian.
“Sampai waktu saya mengunjungi Dhaka dan Cox’s Bazar sebagai timbalan menteri pertahanan pada Mei 2019, para pemimpin kanan kerajaan dan tentera di Bangladesh semuanya memuji kerja cemerlang hospital medan Malaysia,” katanya dalam catatan blog.
Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) meneruskan keprihatinan rakyat Malaysia yang sudah lama wujud berkenaan isu Rohingya.
Kemudian Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah mengunjungi Cox’s Bazar masing-masing pada 2018 dan 2019, dan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, lantang bersuara bagi pihak Rohingya dalam ucapan di PBB, tambahnya.
Liew berkata, PH sedang mencari cara untuk memberikan sebarang bentuk dokumen dan permit kerja dalam sektor yang ditentukan kepada orang Rohingya tanpa menawarkan mereka status rasmi sebagai pelarian, yang belum diperuntukkan oleh undang-undang semasa di negara ini.
“Sentimen keras dan xenofobia yang dianjurkan kerajaan Perikatan (Nasional) pada April dan Mei 2020, serta baru-baru ini menjejaskan kedudukan negara di wilayah tersebut.
“Ini memundurkan Malaysia,” katanya.
Beliau mengulang sentimen pengkritik, termasuk daripada Umno, bahawa pendirian tegas seperti itu akan mendorong komuniti pendatang, termasuk Rohingya, untuk bersembunyi dan menyukarkan negara mencapai imuniti kelompok.
“Dalam masa Covid-19, kita harus sedar bahawa bersikap baik hati terhadap Rohingya dan pendatang sebenarnya bijak dan praktikal untuk semua orang,” katanya.
Sebuah kumpulan hak asasi baru-baru ini mengecam Jabatan Imigresen berhubung poster anti-Rohingya yang dikongsi melalui akaun Twitter, dengan berkata, ia boleh memupuk “kebencian, keganasan dan xenofobia”.
Bulan lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, jabatan itu akan melakukan operasi besar-besaran sewaktu sekatan pergerakan penuh untuk menahan pendatang tanpa dokumen.
Beliau kemudian menjelaskan bahawa kementeriannya melakukan ini untuk memberi vaksin kepada pendatang.