Peguam mohon maaf samakan Ratu Kaamatan dengan ‘persembahan lembu eksotik’

Peguam mohon maaf samakan Ratu Kaamatan dengan ‘persembahan lembu eksotik’

Marcel Jude yang mewakili Phillip Among dikecam selepas nota hujahan permohonan ikat jaminnya menjadi viral di media sosial.

Marcel Jude berkata, bahagian yang ‘menghina’ Unduk Ngadau tidak dibacakannya dalam prosiding mahkamah Khamis lalu.  (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Peguam mewakili bekas pemimpin STAR yang menghadapi lima pertuduhan mencabul kehormatan baru-baru ini, memohon maaf kerana menyamakan pertandingan Ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau dengan “persembahan lembu eksotik” dan “acara lelong”.

Marcel Jude membuat kenyataan itu dalam nota penghujahan permohonan ikat jamin Phillip Among di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu Khamis lalu yang kemudiannya tular di media sosial.

“Saya, Marcel Jude Joseph, dengan ikhlas dan sepenuh hati memohon maaf atas bahagian dalam penghujahan mahkamah yang menyinggung dan menyakitkan (hati pihak berkaitan).

“Maka di sini saya membuat permohonan maaf ikhlas ini kepada semua Unduk Ngadau di seluruh Malaysia, dari permulaan acara Ratu Kaamatan Unduk Ngadau sehingga ke 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jude turut memohon maaf kepada ahli jawatankuasa penganjur pertandingan Ratu Kaamatan dan perayaan itu pada tahun ini dan sebelumnya, semua pihak yang terlibat dalam penganjuran acara itu yang mula diperkenalkan pada 1960 serta orang Kadazandusun Sabah.

Beliau berkata, bahagian yang “menghina” Unduk Ngadau” itu tidak dibacakannya dalam prosiding mahkamah Khamis lalu.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak boleh menarik balik penghujahan bertulisnya kerana ia adalah res judicata, iaitu sebahagian daripada prosiding mahkamah, dan hanya hakim boleh menentukan sama ada mahu menerimanya atau tidak.

“Perenggan yang menyinggung seperti didakwa Joanna Kitingan (Pengerusi Majlis Wanita Persatuan Kadazandusun (KDCA), dibuat atas tujuan perbicaraan di mahkamah. Ia tidak dibuat dengan sebarang niat jahat, provokasi atau untuk menyakitkan hati. Ia dibuat untuk membela anak guam saya.

“Sebagai peguam, saya perlu bertindak sebaik mungkin untuk anak guam yang dirasakan bersesuaian,” katanya sambil menambah bahawa pihak pendakwaan meminta ikat jamin RM100,000 dan beliau berusaha mengurangkan jumlah itu.

Khamis lalu, mahkamah menetapkan ikat jamin RM8,000 untuk setiap pertuduhan ke atas Among yang mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan mencabul kehormatan seorang peserta Unduk Ngadau dan satu pertuduhan sama terhadap seorang wanita lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.