Pak Tam sukarela turunkan iklan Ah Long dalam usaha elak masyarakat meminjam

Pak Tam sukarela turunkan iklan Ah Long dalam usaha elak masyarakat meminjam

Beliau tekad berbuat demikian setelah melihat penduduk kawasan kejiranannya menjadi mangsa kekejaman Ah Long.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Tam ini mula menurunkan iklan ceti haram secara sukarela sejak awal tahun ini.
PETALING JAYA:
Pengalaman melihat penderitaan jiran diugut Ah Long mendorong seorang ejen hartanah bertekad membersihkan kawasan kejiranannya di sekitar Puncak Alam, Selangor daripada segala bentuk pengiklanan ceti haram.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Tam, 45, itu mula menurunkan iklan pinjaman tidak berlesen secara sukarela sejak awal tahun ini.

Setiap pagi selepas solat Subuh, bapa tiga anak yang berasal dari Kota Belud, Sabah itu menunggang motosikal di sekitar Puncak Alam untuk menurunkan kain rentang iklan ceti haram.

Tidak cukup dengan itu, beliau menyambung inisiatif itu pada sebelah petang sebelum masuk waktu solat Maghrib.

“Saya akan ke setiap lorong di taman perumahan untuk mencari iklan Ah Long, walaupun ada perasaan takut sekiranya terserempak dengan kumpulan itu, namun saya tawakal kerana yakin Tuhan akan melindungi orang yang melakukan kebaikan.

“Setakat ini saya belum terserempak dengan kumpulan Ah Long lagi,” katanya kepada FMT, selain mengakui usaha murni itu adalah bagi menyambung niat “orang lama” di kawasan berkenaan yang mahu Puncak Alam bebas daripada aktiviti ceti haram.

“Saya sebenarnya menyambung niat seorang sahabat sebelum ini yang sering turunkan iklan Ah Long di sini, namun beliau meninggal dunia kerana masalah kesihatan.”

Walaupun menganggap usaha itu kecil, namun bagi lelaki mualaf itu, ia sekurang-kurangnya dapat mengelakkan orang ramai meminjam daripada Ah Long yang mengenakan kadar faedah tinggi.

“Saya sedih melihat ada penduduk di sini jadi mangsa kekejaman Ah Long yang mengugut dan menyimbah rumah peminjam dengan cat, sebab itu kalau boleh elakkan meminjam dengan mereka.

“Saya turunkan iklan Ah Long ini pun supaya penduduk tidak nampak dan buat pinjaman dengan mereka,” katanya.

Kata Pak Tam, kerja sukarela itu bukan untuk mempopularkan diri tetapi sekadar menyumbang kepada masyarakat mengikut kemampuan diri.

“Ada juga jiran yang ambil gambar dan cuba tularkan di media sosial, sejak itu ramai penduduk menyedari tindakan saya.

“Mereka menyokong tindakan itu dan saya gembira mendapat respons positif,” kata bekas anggota Angkatan Pertahanan Awam itu.

Kini Pak Tam terpaksa menghentikan usaha itu buat sementara, susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh.

Namun beliau bertekad untuk meneruskan usaha itu selepas tempoh PKP berakhir.

“Saya lihat iklan Ah Long pun sudah berkurang di sini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.