
“Mereka mungkin tidak mendapat maklumat yang tepat, atau mahu memilih vaksin tertentu, atau mungkin sedikit sangsi mengenai vaksin,” kata Lee.
Beliau menyifatkan cadangan menetapkan tarikh akhir sebagai “idea bodoh” kerana lebih daripada 10 juta orang masih menunggu slot vaksinasi mereka.
Cadangan tarikh akhir itu disuarakan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan hari ini, yang menganggap ini boleh mencetuskan rasa desakan untuk segera mendaftar bagi vaksinasi.
Wan Saiful juga berkata usaha kerajaan dan NGO boleh digembleng untuk menjayakan kempen pendaftaran vaksinasi orang ramai dalam tempoh ditetapkan.
Bagaimanapun, Lee, yang juga timbalan menteri kesihatan kerajaan terdahulu, berkata proses pendaftaran vaksin perlu dipermudah untuk orang ramai, contohnya orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Idea Wan Saiful turut dikritik pemimpin pemuda MCA, Ryan Ho yang meragui Malaysia akan dapat mencapai imuniti kelompok sekiranya tarikh akhir pendaftaran vaksin ditetapkan.
“Bagi mereka yang belum mendaftar sebelum tarikh tutup, bolehkah mereka diberi vaksin?
“Apa kata kita tingkatkan kesedaran mengenai vaksinasi dan mendapatkan lebih ramai sukarelawan?” katanya di Facebook.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dari DAP berkata di Twitter, pemimpin Bersatu seperti Wan Saiful seolah “terpisah dari realiti” sementara Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming secara sinis “memuji” Wan Saiful atas cadangan tarikh akhir tersebut.
Kerajaan mengumumkan sejumlah 4.36 juta dos vaksin telah diberikan setakat ini.