MCMC, 15 syarikat telefon ganding bahu ‘perangi’ penipuan

MCMC, 15 syarikat telefon ganding bahu ‘perangi’ penipuan

Kempen kesedaran pencegahan jenayah itu bagi mendidik pelanggan supaya mengenal pasti aktiviti penipuan serta langkah sewajarnya untuk mengelaknya.

Kempen kesedaran menyasarkan penipuan menerusi panggilan telefon, pesanan ringkas serta transkasi perbankan. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Sebanyak 15 syarikat telefon akan berganding bahu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memerangi penipuan melalui telefon yang mengakibatkan kerugian lebih RM580 juta sejak 2019.

SKMM berkata, kempen kesedaran pencegahan jenayah itu akan mendidik pelanggan supaya mengenal pasti aktiviti penipuan serta langkah sewajarnya untuk mengelaknya.

Syarikat terlibat adalah Altel, Celcom, Digi, Maxis, Merchantrade, Pavocomms, RedOne, RedTone, Time, Telekom Malaysia, TuneTalk, U Mobile, Webe, XOX dan Yes.

“Kempen kesedaran ini memfokuskan tiga ‘scam’ telekomunikasi iaitu panggilan telefon, pesanan ringkas (SMS) dan kod pengesahan transaksi (TAC).

“Penipuan melibatkan panggilan telefon berlaku apabila pemanggil yang tidak dikenali mendakwa sebagai pegawai badan kerajaan seperti polis, kastam, Bank Negara atau mahkamah.

“Ia turut melibatkan badan swasta seperti bank yang menipu bakal mangsa untuk mempercayai mereka mempunyai sesuatu isu dengan pihak berkuasa, seterusnya memaksa mereka mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan,” katanya.

Penipuan SMS pula melibatkan penerimaan pesanan teks mendakwa berlaku transaksi perbankan yang perlu disahkan mangsa, dengan menghubungi nombor telefon diberikan atau klik pada pautan tertentu.

Bagi penipuan menerusi TAC, mangsa dihubungi menggunakan pelbagai media sebelum diminta memberikan nombor TAC itu yang didakwa telah dihantar secara salah ke nombor telefon mangsa.

Sepanjang kempen, maklumat serta tips bagi mengenal pasti aktiviti penipuan, selain langkah yang boleh diambil akan dikongsikan di pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Twitter serta laman web lain.

SKMM berkata, 1,290 kes penipuan dilaporkan kepadanya tahun lalu setakat Mei tahun ini.

Menurut SKMM, rekod polis menunjukkan 5,725 kes fraud menerusi panggilan telefon dilaporkan sepanjang 2019 melibatkan kerugian RM254,586,210.

Ini meningkat pada 2020 apabila 6,003 kes dilaporkan dengan kerugian sebanyak RM287,301,039.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.