Maut ‘dimakan’ pagar elektrik buatan sendiri

Maut ‘dimakan’ pagar elektrik buatan sendiri

Lelaki dipercayai mati akibat renjatan pagar dibina di keliling kebunnya.

Mayat itu ditemui jiran yang menyiasat bau busuk dari arah rumah mangsa.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditemui mati terbaring di tepi rumahnya pagi tadi dalam keadaan rentung dipercayai terkena renjatan pagar elektrik yang dibuatnya di keliling kebun bersebelahan rumahnya di Gua Musang.

Mayat Mokhtar Mat Nor, 56, yang dipercayai mati sejak tiga hari lalu ditemui jirannya, Mohd Razali Harun, 54, kira-kira jam 8 pagi dengan keadaan masih berasap dan dawai elektrik terbelit di kakinya, lapor Berita Harian.

Mohd Razali berkata, dia terhidu bau busuk dari rumah mangsa di Kampung Star Baru, Gua Musang, ketika mahu keluar menoreh getah pagi tadi, lalu pergi menyiasat.

“Sejak tiga hari lalu, saya tidak melihat mangsa yang biasa saya temui setiap petang sebelum kami ke masjid untuk solat Maghrib.

“Saya terkejut menemui jiran mati terbaring dengan badannya hangus rentung dan masih berasap, manakala dawai elektrik dilihat terbelit di kakinya,” katanya.

Mangsa dipercayai tersepak dawai elektrik itu ketika berada di luar rumahnya. Difahamkan, mangsa membuat sambungan dawai terus daripada meter elektrik rumahnya menjadi pagar mengelilingi kebunnya di situ.

Mohd Razali berkata, dia segera melaporkan kejadian itu kepada pihak berkaitan sebelum Tenaga Nasional Berhad (TNB) datang memotong bekalan elektrik pada meter dan mengeluarkan dawai elektrik berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Sik Choon Foo mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Gua Musang (HGM) untuk proses bedah siasat.

“Mangsa maut akibat terkena renjatan elektrik daripada pagar dawai yang dibinanya itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.