
Spekulasi bertebaran bahawa Umno dan PH sehaluan atas keperluan sidang Parlimen dan DUN diadakan seberapa segera.
Ini susulan titah Agong yang berpandangan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat pada suatu tarikh difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang juga seorang daripada dua timbalan presiden Majlis Presiden PH, mengesahkannya dengan berkata, ia adalah rancangan yang dipersetujui gabungan pembangkang itu dalam mesyuarat terakhirnya.
Lim berkata, ia mungkin bukan kebetulan Pahang memulakannya dengan menghantar surat kepada ADUN untuk bersidang Ogos ini kerana Umno turut bertindak seperti PH menghentam kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak membenarkan badan perundangan bersidang.
“Pahang ialah kerajaan pimpinan Umno yang juga mahu kerajaan PN membenarkan dewan perundangan bersidang. Semua ADUN di negeri pimpinan PH akan diminta menyerahkan soalan sebagai persediaan untuk pembukaan.
“Bukan hanya wakil rakyat yang mahu Parlimen dan DUN berfungsi seperti biasa, rakyat turut memintanya.
“Ahli Parlimen dan ADUN sudah divaksin, jadi tiada masalah dengan kehadiran fizikal dan SOP ketat dilaksanakan,” katanya kepada FMT.
Pada 25 Mei lalu, kerajaan Pahang mengeluarkan notis kepada semua ADUN memaklumkan DUN akan bersidang mulai 16 hingga 20 Ogos ini.
Bagaimanapun, surat itu yang dikeluarkan Setiausaha DUN, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman menyatakan DUN akan bersidang dengan syarat darurat tidak dilanjutkan.
Speaker turut meminta ADUN mengemukakan soalan mereka dalam dua minggu daripada notis itu dikeluarkan.
Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan di bawah pimpinan PH, manakala Perak, Johor, Melaka dan Perlis di bawah Umno. Umno Perlis sudah menyuarakan sokongan kepada PN dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Ditanya sama ada PH sedang berunding dengan Umno untuk memastikan negeri pimpinan mereka melakukan perkara sama, Lim berkata, kedua-duanya kelihatan bersolidariti untuk menghentikan “tindakan subversif tersembunyi dan berbahaya terhadap demokrasi berparlimen” yang dilakukan PN.
Mengenai kemungkinan DUN tidak dapat bersidang jika darurat dilanjutkan, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, perisytiharan darurat itu hanya untuk tujuan memerangi Covid-19 dan tidak boleh dibenarkan menyekat demokrasi seperti yang dilakukan sekarang.
“Separuh daripada negara sedang bekerja sekarang, walaupun kebanyakannya tidak divaksin lagi. Apa salahnya dengan yang sudah divaksin menghadiri sidang Parlimen dan DUN?
“Langkah ini akan menunjukkan kepada kerajaan yang rakyat mahu suara mereka didengari di Parlimen melalui wakil rakyat mereka untuk menawarkan idea dan penyelesaian bagi pertarungan keseluruhan-masyarakat memenangi perang melawan Covid-19.”