Jho Low, bekas anggota Fugees hadapi tuduhan baharu kempen lobi gugur siasatan 1MDB

Jho Low, bekas anggota Fugees hadapi tuduhan baharu kempen lobi gugur siasatan 1MDB

Berdasarkan pertuduhan baharu itu, ahli perniagaan buruan itu dan bekas anggota Fugees, Prakazrel 'Pras' Michel didakwa cuba mempengaruhi DoJ menggugurkan siasatan 1MDB.

Jho Low dan Prakazrel ‘Pras’ Michel menghadapi pertuduhan baharu cuba melobi pentadbiran Donald Trump untuk menggugurkan siasatan 1MDB dan mengekstradisi seorang warga China buangan.
WASHINGTON:
Ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho dan seorang bekas anggota kumpulan hiphop, Fugees menghadapi pertuduhan baharu melobi pentadbiran Donald Trump secara haram untuk menggugurkan siasatan berkaitan skandal rasuah global 1MDB dan mengekstradisi seorang penentang China dari Amerika Syarikat.

Jabatan Kehakiman AS (DoJ) dalam kenyataan semalam berkata, juri agung persekutuan pada Khamis lalu mengembalikan pertuduhan gantian terhadap Low, yang juga dikenali sebagai Jho Low, dan Prakazrel “Pras” Michel.

Matlamat Low dan Michel ialah mempengaruhi DoJ untuk menggugurkan siasatan terhadap ahli perniagaan dari Malaysia itu dan yang lain, serta mengekstradisi seorang warga China kaya lantang mengkritik Beijing.

Warga China buangan itu tidak dikenal pasti oleh DoJ, tetapi seorang individu yang mengetahui perkara itu berkata, ia adalah Guo Wengui.

Low dan Michel didakwa melakukan konspirasi pengubahan wang, manakala Michel turut didakwa mengganggu saksi serta bersubahat untuk membuat penyata palsu kepada bank.

“Pras berhasrat membela kes ini dengan bersungguh-sungguh dan percaya apabila semua fakta berkembang, juri akan memutuskan ia adalah pendakwaan terpilih tidak adil yang menyasarkan Michel dan membebaskannya,” kata peguam Michel, Benjamin Brafman dalam kenyataan.

Michel bersama Lauryn Hill dan Wyclef Jean menganggotai Fugees, yang mempunyai beberapa lagu popular pada 1990-an.

Low dan Michel didakwa pada 2019 cuba menyalurkan jutaan dolar wang Low dalam kempen presiden AS sebagai sumbangan sah kempen sambil menyembunyikan sumber asal dana itu.

Pendakwa raya berkata, dua lelaki itu bekerjasama rapat dengan Elliott Broidy, pengumpul dana Trump, yang mengaku bersalah tahun lalu atas pertuduhan melobi pentadbiran Trump secara haram untuk membantu Jho Low menggugurkan siasatan 1MDB dan mengekstradisi Guo dari AS. Trump memberi pengampunan kepada Broidy Januari lalu.

Low didakwa pada 2018 atas pertuduhan konspirasi untuk mengubah berbilion dolar yang diseleweng dari 1MDB. Dia menafikan sebarang salah laku dan dianggap sebagai buruan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.