
Adrian Pereira, pengarah Inisiatif Utara-Selatan yang memperjuangkan hak pendatang asing, berkata menteri dalam negeri perlu bertanggungjawab jika perkara itu berlaku.
Katanya, kerajaan tidak berfikir panjang untuk menolak pengampunan kepada pendatang tanpa dokumen kerana ia berlawanan matlamat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Menteri perlu dipertanggungjawabkan jika jangkitan meningkat dan rakyat turut dijangkiti.”

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin mempertahankan rancangan menahan pendatang tanpa dokumen secara besar-besaran sebagai langkah untuk mereka divaksin selepas timbul kebimbangan mereka mungkin tidak tampil bagi mendapatkan vaksin.
Katanya, ia akan membolehkan mereka didaftar dan didokumenkan.
Semalam, beliau dilaporkan berkata, tiada keperluan untuk memberi pengampunan atau program membenarkan pendatang diambil bekerja dalam sektor tertentu.
Pereira berkata, skop program “rekalibrasi” perlu diperluaskan kepada semua sektor.
Beliau mengalu-alukan program itu kerana ia memberi peluang majikan mengambil pekerja daripada pendatang sedia ada berbanding membelanjakan wang ke atas pendatang baharu.
Katanya, sambutan terhadap program itu tidak begitu menggalakkan kerana mereka yang berminat perlu mempunyai pasport dan ini menyukarkan pendatang yang menghadapi halangan birokrasi dilaksanakan kedutaan sejak pandemik bermula.
Pereira berkata, moratorium penguatkuasaan atau pengampunan sementara ialah cara terbaik sehingga semua pendatang tanpa dokumen divaksin dan mereka perlu diberi peluang untuk mendapatkan dokumen atau meninggalkan Malaysia apabila pandemik berakhir.
“Jika kita meneruskan strategi serbuan dan penahanan semasa, ia mungkin juga menjejaskan peluang Wisma Putra menjadi anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk penggal 2022-2024.”
PBB berkata, serbuan ke atas pendatang ketika pandemik boleh mendatangkan hasil berlawanan dan menjejaskan matlamat kesihatan awam.
“PBB di Malaysia sudah berbincang dengan kerajaan untuk menggalakkan pendatang tanpa dokumen tampil divaksin, jaminan seperti pengecualian sementara atau moratorium penahanan dan pengusiran adalah penting,” kata seorang jurucakap kepada FMT melalui e-mel.
Kira-kira 200,000 pendatang tanpa dokumen memohon program rekalibrasi di bawah Jabatan Imigresen, dengan separuh daripadanya memohon untuk pulang ke negara asal.