
Ketua Pemuda DAP Keningau Grelydia Gillod berkata, kenyataan Aliakbar yang didakwa cuba menyemarakkan lagi isu berkenaan dengan mengaitkan agama adalah tidak wajar kerana pihak pengurusan pasar raya terbabit sudah mengambil tindakan yang sepatutnya.
“Aliakbar sepatutnya tidak perlu mengulas kembali isu yang telah pun diselesaikan oleh pihak pengurusan pasar raya berkenaan,” kata beliau dalam kenyataan.
Grelydia berkata, masalah berkenaan tidak sepatutnya dikaitkan dengan isu agama yang dilihat sudah jauh menyimpang daripada tujuan asal isu itu ditularkan.

Terdahulu tular satu catatan seorang pengguna Facebook yang meminta supaya diasingkan troli untuk barangan halal serta tidak halal di pasar raya berkenaan.
Susulan itu Aliakbar yang juga setiausaha PAS Sabah menggesa semua pasar raya atau kedai bersikap sensitif dengan keperluan serta sentimen pelbagai agama di Sabah.
“Saya berpandangan ini merupakan satu penghinaan terhadap sensitiviti umat Islam. Pasar raya sepatutnya memahami hal ehwal agama lain ataupun perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama terlebih dahulu,” kata beliau.
Sementara itu Majlis Belia Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Steve Johnny Mositun memohon kepada mana-mana pihak termasuk pemimpin negeri itu supaya mengeluarkan kenyataan yang lebih harmoni serta tidak menyentuh sensitiviti masyarakat di Sabah.

Katanya, masyarakat atau sesiapa saja yang menetap di negeri itu tidak pernah mengalami masalah toleransi, sebaliknya hidup dalam suasana harmoni.
“Sabah adalah contoh terbaik dari segi perpaduan, keharmonian dan sikap saling menghormati. Dalam organisasi kami pun mempunyai rakan-rakan yang beragama Islam dan ini yang kita mahu kekalkan sehingga generasi akan datang.
“Jangan gadaikan keharmonian dengan kenyataan yang akan membawa kepada pelbagai perkara yang merosakkan keharmonian,” katanya.
Tambah beliau, perkara sedemikian sepatutnya bukan dibincang menerusi entiti politik yang diwakili kerana implikasi seterusnya boleh melarat dan membesar kepada perkara lain.