
Mangsa wanita berusia 49 tahun diperdaya lelaki terbabit yang berjanji akan memberikannya hadiah sebagai tanda perkenalan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, E Sundra Rajan, berkata mangsa yang juga ibu tunggal berkenalan dengan suspek terbabit melalui Facebook pada 28 Mei lalu.
“Selepas berkenalan suspek mengatakan mahu menghantar bungkusan hadiah barang kemas kepada mangsa.
“Pada hari sama juga, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu mendakwa dari sebuah syarikat kurier dan mengatakan bungkusan dikirim sudah sampai,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata, bagaimanapun mangsa diminta membuat beberapa bayaran termasuk cukai kastam terlebih dulu bagi menuntut bungkusan itu.
“Mangsa kemudian membuat pembayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM78,214 dalam tempoh 12 hari sehingga kelmarin.
“Semua transaksi itu dibuat ke dalam tiga akaun bank berbeza menggunakan wang simpanannya,” katanya.
Sundra berkata, walaupun sudah membuat pembayaran, suspek dikatakan masih meminta wang daripada mangsa sebelum dia menyedari ditipu kerana bungkusan dijanjikan itu tidak wujud.
“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.