Kenapa tergesa-gesa laksana PSR tanpa kelulusan, Gerakan tanya Chow

Kenapa tergesa-gesa laksana PSR tanpa kelulusan, Gerakan tanya Chow

Dengan EMP belum diluluskan, pemimpin Gerakan berkata, Pulau Pinang tidak patut berdegil meneruskan projek penambakan laut itu.

Gerakan ingin tahu kenapa Pulau Pinang berdegil untuk meneruskan projek tiga pulau itu secara tergesa-gesa sedangkan pelan pengurusan alam sekitar belum diluluskan.
GEORGE TOWN:
Gerakan berkata, kerajaan Pulau Pinang tidak perlu tergesa-gesa melaksanakan projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) sedangkan pelan pengurusan alam sekitar (EMP) utama belum diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Timbalan presidennya Oh Tong Keong berkata, Ketua Menteri Chow Kon Yeow tidak patut memberi bayangan bahawa projek itu boleh diteruskan apabila EMP belum diluluskan.

Chow dilaporkan berkata, negeri itu akan meneruskan PSR walaupun terdapat bantahan kerana faktor “positif melebihi negatif” dalam penambakan tiga pulau di selatan untuk membiayai projek pengangkutan.

“Mengapakah kerajaan negeri mesti menjalankan projek penambakan sedangkan masih terdapat banyak tanah di Seberang Perai?

“Bukankah lebih baik untuk menyeimbangkan pembangunan di bahagian pulau dan seberang?” tanya Oh dalam kenyataan hari ini.

Chow sebelum ini menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan memulakan projek penambakan laut itu tanpa EMP.

EMP ialah satu daripada 72 syarat yang ditetapkan JAS dalam meluluskan penambakan laut pada 2019 untuk mengurangkan impak ke atas alam sekitar.

Pada 20 Mei lalu Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar berkata, EMP untuk PSR belum diterima.

Katanya, EMP yang pernah dikemukakan dahulu tidak mengikut turutan asal penambakan seperti dalam Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang diluluskan pada 25 Jun 2019.

Kerajaan Pulau Pinang membalas dengan berkata, ia akan menghantar EMP yang dikemas kini dalam bulan ini kerana terdapat kesilapan kecil dalam pelan yang dikemukakan dahulu.

Pembangunan seluas 17km persegi itu akan menyaksikan tiga pulau dibina di perairan Permatang Damar Laut untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion yang terdiri daripada projek LRT dan beberapa lebuh raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.