Air Tasik Chini bersih, selamat, kata JAS Pahang

Air Tasik Chini bersih, selamat, kata JAS Pahang

JAS berkata terdapat 15 stesen pemantauan kualiti air yang ditempatkan di Tasik Chini, Pekan, dengan kekerapan pemantauan sebulan sekali bagi setiap stesen.

Dakwaan Tasik Chini terancam berikutan aktiviti perlombongan menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat termasuk Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang memaklumkan, tahap kualiti air di tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia, Tasik Chini masih bersih dan selamat untuk semua hidupan.

Dalam kenyataan hari ini jabatan itu menyatakan, terdapat 15 stesen pemantauan kualiti air yang ditempatkan di Tasik Chini, Pekan, dengan kekerapan pemantauan sebulan sekali bagi setiap stesen.

“Parameter utama yang diukur ialah Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Pepejal Terampai (SS), Nitrogen Amonia (AN) dan Besi (Fe), yang secara umumnya didapati bahawa data kualiti air bagi tahun 2020 sehingga Mac 2021 menunjukkan kualiti air Tasik Chini dalam kategori bersih,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, pemantauan terhadap tasik berkenaan dilakukan sejak ia dianugerahkan status rizab biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Mei 2009.

Pada 13 Mac 2019 kerajaan negeri bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,498 hektar di tasik itu sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Isu membabitkan Tasik Chini tiba-tiba tular di media sosial baru-baru ini yang memaparkan gambar keadaan “terkini” tasik berkenaan yang didakwa terancam berikutan aktiviti perlombongan dan menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat, termasuk Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak yang mendakwa ia merupakan gambar lama yang dirakam dua tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.