
JPBNS dalam kenyataan semalam memaklumkan kluster Kampung Hilir Lingga di Sri Aman tercetus susulan ziarah Hari Raya melibatkan tiga lokaliti, iaitu Kampung Hilir Lingga, Kampung Masjid Baru Lingga dan Taman Pasir Panas.
“Seramai 32 individu telah disaring dalam kluster itu dengan 23 kes daripadanya dikesan positif Covid-19, termasuk kes indeks,” katanya.
Selain itu, kluster Kampung Sinar Budi Baru di Kuching pula melibatkan tiga keluarga di Kampung Sinar Budi Baru di sini yang tercetus menerusi pergaulan sosial dan kontak rapat dalam kalangan keluarga.
“Seramai 38 individu disaring dengan 19 kes daripadanya dikesan positif Covid-19, termasuk kes indeks manakala 19 kes lain didapati negatif,” menurut JPBNS.
Sebanyak 76 kluster masih aktif di Sarawak sehingga kini.
Sarawak merekodkan 419 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 53,000 dengan 330 kematian susulan tiga kematian baharu dilaporkan semalam.