VOC cetus lonjakan kes besar di Labuan, kata pengarah kesihatan

VOC cetus lonjakan kes besar di Labuan, kata pengarah kesihatan

VOC Delta (B.1.617.2) mempunyai kadar jangkitan yang tinggi, sekali gus mempercepat penularan dalam masyarakat.

Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari, berkata pergerakan masyarakat semasa sambutan Aidilfitri lalu turut menyebabkan penularan Covid-19 meluas dengan cepat. (Gambar Bernama)
LABUAN:
Varian yang membimbangkan (VOC) Covid-19 dikenal pasti antara faktor Labuan mengalami lonjakan kes yang besar sejak beberapa hari lalu, kata Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata, VOC Delta (B.1.617.2) mempunyai kadar jangkitan yang tinggi, sekali gus mempercepat penularan dalam masyarakat.

“Mereka yang dijangkiti virus varian ini juga mengalami gejala yang teruk,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, pergerakan masyarakat semasa sambutan Aidilfitri lalu turut menyebabkan penularan Covid-19 meluas dengan cepat.

“Kami juga mengenal pasti sebuah keluarga yang besar tinggal bersesak di dalam sebuah rumah menyebabkan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga, serta menyukarkan pihak berkuasa untuk menstabilkan penularan,” katanya.

Ismuni turut mendedahkan beberapa syarikat dalam sektor penting terpaksa ditutup sementara bagi proses sanitasi selepas sejumlah kes positif dikesan dalam kalangan pekerja mereka, sementara pengesanan kes aktif dipertingkat dengan bantuan klinik swasta, membolehkan 2,000 sampel diambil setiap hari berbanding 800 sebelum ini.

Katanya, Labuan mencatatkan 191 kes baharu semalam selain tujuh kematian dan sebahagian kes harian baharu semalam disumbangkan oleh empat kluster aktif iaitu Patau-Patau (23 kes), Simpang Sahari (16), Simpang Sungai (7) dan Victoria Merdeka (12).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.