Tergamak lepas ‘gian’ depan isteri, anak

Tergamak lepas ‘gian’ depan isteri, anak

Dalam serbuan jam 8.30 pagi kelmarin, isteri dan anak suspek turut bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

Saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai kes berulang berkaitan dadah. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Isnin lalu selepas menghisap dadah di hadapan isteri dan anaknya di sebuah rumah di Pasir Mas, Kelantan.

Ketua Pegawai AADK Pasir Mas Nor Asmah Seman berkata, ketika serbuan pada 8.30 pagi itu, isteri dan anak suspek turut bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota penguatkuasa.

Turut ditahan adalah seorang rakan lelaki suspek yang dipercayai terbabit sama dalam aktiviti berkenaan.

“Saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mereka mempunyai kes berulang berkaitan dadah,” kata beliau menurut laporan Sinar Harian.

Nor Asmah berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan dua lagi penagih dadah di lokasi berbeza.

“Semua suspek yang ditahan berusia antara 19 dan 50 tahun dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” tambah beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.