Petugas barisan hadapan pelancongan diutamakan vaksin Covid-19

Petugas barisan hadapan pelancongan diutamakan vaksin Covid-19

Ia akan bermula selepas vaksinasi untuk petugas barisan hadapan perubatan dan golongan berisiko tinggi selesai.

Kakitangan industri penerbangan yang masih bertugas ketika ini akan diutamakan dalam fasa pertama vaksinasi Covid-19 untuk petugas barisan hadapan sektor pelancongan.
PETALING JAYA:
Empat kumpulan petugas barisan hadapan sektor pelancongan yang bertugas sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 akan diberi keutamaan mendapatkan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan berkata, fasa pertama pemberian vaksin itu membabitkan petugas hotel yang dijadikan pusat kuarantin dan tenaga kerja hotel beroperasi sepanjang PKP penuh ini.

Ia turut membabitkan kakitangan industri penerbangan yang masih bertugas serta petugas pusat mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) yang dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV).

Katanya, ia akan bermula selepas proses vaksinasi di bawah PICK membabitkan petugas barisan hadapan perubatan dan golongan berisiko tinggi selesai.

“Fasa seterusnya akan melibatkan mereka yang berada dalam sub sektor lain di bawah MOTAC berdasarkan kelonggaran pengoperasian sektor ekonomi selepas PKP 3.0,” kata MOTAC.

Menterinya Nancy Shukri berkata, komitmen itu boleh menjadi pemangkin untuk industri pelancongan kembali bangkit dan membantu negara mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi.

MOTAC menerusi Biro Pameran dan Persidangan Malaysia (MyCEB) turut komited menawarkan pusat persidangan dan pamerannya sebagai PPV bagi meningkatkan kadar vaksinasi.

“Ini termasuk Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru, Pusat Konvensyen Setia Spice dan Pusat Konvensyen Seberang Perai Arena di Pulau Pinang, Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah serta Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di Pahang.

“Langkah ini boleh membantu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan melancarkan proses pemberian vaksin di seluruh negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.