
Marcos, 28, merupakan pegawai perubatan yang menjaga klinik tersebut sejak Januari tahun ini.
Beliau dan pasukannya menjelajah hutan, menelusuri jalan berlumpur dan mengharungi jeram sungai untuk mencapai Orang Ulu dalam daerah yang besar itu setiap bulan bagi tujuan pengesanan kes Covid-19, pengujian, pendidikan dan vaksinasi.
Dengan bantuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah, pasukan kecilnya mengadakan ceramah kesihatan dan promosi vaksin di sana dan setakat ini telah berjaya mendaftarkan 28,246 orang untuk mendapatkan vaksin.
Selain pendaftaran, mereka juga menjalankan vaksinasi bagi mereka yang tinggal di kawasan yang jauh dari klinik.
Selama berjam-jam, bahkan berhari-hari, mereka menaiki trak 4×4, bot laju atau bot panjang, malah helikopter, sambil memakai peralatan perlindungan diri yang berat dalam inisiatif “Village Health Teams” (VHT) klinik itu.

“VHT sungai meliputi rumah panjang yang tersebar dari Long Menjawah (di hulu sungai) hingga Punan Sama (hilir) di sepanjang Sungai Rajang, dengan bot laju, untuk menyediakan perkhidmatan perubatan,” kata Marcos.
Pasukan perkhidmatan “doktor terbang” yang terdiri daripada seorang pegawai perubatan dan pembantu serta dua jururawat menaiki helikopter ke kampung seperti Lusong Laku, Sang Anau, Long Unai, Batu Keling dan Lusong Laku yang tidak dapat dicapai oleh orang luar.
“Ambil masa kira-kira sejam menaiki helikopter untuk sampai ke setiap tempat ini dan kami mengambil masa sekitar enam hari untuk merangkumi seluruh kawasan,” katanya.
Sementara itu, VHT darat akan menggunakan trak untuk pergi ke dua perkampungan Penan di Tegulang dan Metalun.
Selain cabaran dari segi geografi kata Marcos, pasukan perubatan memerlukan bantuan penterjemah untuk berkomunikasi dengan pelbagai etnik di Belaga yang didiami suku Kenyah, Iban, Kayan, Punan, Penan, Kajang dan Tanjung.
Vaksinasi di klinik Belaga bermula pada 7 Mac bagi fasa pertama, dan tugas ini dikongsi antara empat doktor, 15 jururawat dan tujuh pembantu perubatan.

Walaupun pasukan ini digerakkan untuk mencapai komuniti terpencil sejak itu, Marcos berharap akan ada lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang mengambil bahagian dalam program vaksinasi.
“Kami memerlukan lebih ramai sukarelawan untuk menyediakan pengangkutan bagi kakitangan atau membawa penduduk tempatan ke pusat vaksinasi statik kami (di klinik Belaga).
“Sokongan tambahan juga diperlukan, seperti minyak untuk pengangkutan, makanan dan minuman untuk sukarelawan, serta liputan internet untuk pengumpulan data di kawasan luar bandar dan terpencil,” katanya.
Selama berbulan-bulan Sarawak adalah salah satu negeri yang mencatatkan kes harian Covid-19 yang rendah – sehingga Mac 2021.
Kes mula melonjak di negeri berkenaan sejak itu, namun kata Marcos, petugas barisan hadapan perubatan tidak mengalah.
“Lonjakan kes Covid-19 di Sarawak, secara umumnya memberi impak yang besar kepada kita, dari segi mental dan fizikal.
“Bagaimanapun di barisan hadapan, kami akan terus berjuang untuk menyelamatkan pesakit bawah jagaan kami,” katanya.