Kadar ujian harian Malaysia mengikut tanda aras WHO, kata Noor Hisham

Kadar ujian harian Malaysia mengikut tanda aras WHO, kata Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, WHO menetapkan 'kadar ujian memadai' bagi setiap kes positif ialah 10 hingga 30 kes negatif.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, isu yang kerap dihadapi Kementerian Kesihatan ialah makmal sektor swasta lambat memasukkan data kes negatif ke Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam setiap hari, khasnya pada cuti umum.
PETALING JAYA:
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar ujian saringan harian Covid-19 Kementerian Kesihatan (KKM) adalah memadai dan mengikut tanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau berkata, WHO menetapkan “kadar ujian memadai” bagi setiap kes positif adalah sebanyak 10 hingga 30 kes negatif.

Katanya, isu yang kerap dihadapi KKM ialah makmal sektor swasta lambat memasukkan data kes negatif ke dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA) setiap hari, khasnya pada cuti umum.

Tetapi beliau berkata, kes positif cepat dimaklumkan.

“Walaupun begitu kes harian yang dijalankan memadai tanda aras WHO dan angka kes negatif mungkin lebih daripada yang dilaporkan,” katanya di Twitter.

Beliau berkata, isu berhubung ujian RTK-Ag kendiri di rumah masih dibincangkan mengenai cara merekodkan keputusan itu dalam SIMKA.

Semalam Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii meminta kerajaan tidak memberikan tanggapan salah bahawa jumlah kes harian berkurangan, sebaliknya perlu telus mengenai kadar ujian Covid-19.

Katanya, kegagalan menyesuaikan kes berkurang mengikut ujian saringan dan kadar positif tidak bermakna, serta memberi “rasa selamat yang salah”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.