Bank perlu perjelas secara mendalam moratorium kepada M40 yang terkesan, kata Mustapa

Bank perlu perjelas secara mendalam moratorium kepada M40 yang terkesan, kata Mustapa

Berdasarkan maklum balas diterima beliau, ramai golongan M40 termasuk usahawan dan para profesional semakin tertekan dan terdesak untuk mendapatkan bantuan.

Mustapa Mohamed berkata ramai golongan M40 yang mengharapkan moratorium menyeluruh seperti yang dibuat pada tahun lepas. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) diharap dapat memberikan penjelasan secara mendalam mengenai moratorium kepada golongan M40 yang terkesan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, berdasarkan maklum balas yang diterimanya, ramai golongan M40, termasuk usahawan dan golongan profesional semakin tertekan dan terdesak untuk mendapatkan bantuan.

“Ramai yang mengharapkan moratorium menyeluruh seperti yang dibuat pada tahun lepas. Bagi perniagaan kecil dan sederhana serta mikro, mereka tiada masalah (untuk mendapatkan moratorium), tetapi bagi M40 yang terkesan, mengalami kekurangan pendapatan, mereka juga boleh memohon dan pihak bank sudah beri jaminan bahawa ia boleh diluluskan.

“Pihak bank perlu mencari kaedah yang lebih tuntas dalam memberikan pencerahan (mengenai moratorium),” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Bicara Politikonomi – ‘Lockdown dan Ekonomi Negara’ di saluran televisyen TV1 terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Selasa.

Beliau berkata, pihak bank juga mungkin boleh menyediakan ‘helpdesk’ bagi kes tertentu supaya mereka yang terkesan dan tidak ada pertimbangan lain dapat membuat aduan.

“Sudah pasti yang terbaik ialah moratorium automatik, yang tidak melibatkan kerenah birokrasi.

“Saya berharap bank-bank akan cuba membantu golongan yang terkesan (yang tidak mendapat moratorium secara automatik) dan yang patut ditolong ini,” katanya.

Pandangan itu dibuat sewaktu bank di negara ini secara amnya melaporkan keuntungan yang memberangsangkan, katanya.

Mustapa berkata, meskipun pemulihan ekonomi dijangka bertambah baik sejak akhir tahun lepas, namun dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, keadaan kembali ‘parah’ kerana kebanyakan perniagaan tiada lagi simpanan tunai atau mendapat bantuan lanjut.

Beliau berkata, walaupun kerajaan tidak dapat memenuhi kebanyakan permohonan daripada usahawan, namun diharapkan semua pihak, termasuk bank dapat terus berbincang dan mencapai kemajuan dalam perkara tersebut.

“Tertakluk kepada pihak bank sama ada menerima cadangan ini atau tidak. Saya rasa mungkin Bank Negara Malaysia (BNM) boleh menjadi orang tengah bagi mencari jalan bagaimana untuk memberi pencerahan agar isu yang dihadapi ini boleh ditangani dengan sewajarnya,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam keadaan yang dinamik dan tidak menentu akibat Covid-19, sukar untuk menjangkakan situasi mengenai pemulihan ekonomi, melainkan kerajaan mempercepat proses vaksinasi Covid-19.

“Kalau ada permohonan daripada syarikat-syarikat swasta untuk beli sendiri vaksin, sudah pasti kerajaan boleh mencari jalan bagaimana dapat mempercepat vaksinasi.

“Seterusnya boleh mengembalikan keyakinan pelabur dan ekonomi dapat cepat pulih seperti yang kita lihat di Amerika Syarikat, negara Eropah dan Australia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.