Pisahkan agama daripada akademik, kata pakar

Pisahkan agama daripada akademik, kata pakar

Mereka berkata, universiti perlu menerima semua pendapat dan membenarkan pelajar menentukan apa yang mereka mahu.

PETALING JAYA:
Ahli akademik menekankan kepentingan memisahkan agama daripada bidang akademik kerana institusi pendidikan tinggi (IPT) perlu menjadi tempat di mana semua idea boleh diterokai tanpa sebarang pengaruh.

Sabtu lalu, Universiti Teknologi Malaysia membatalkan sebuah program oleh penari klasik, Ramli Ibrahim atas nasihat pusat Islamnya kerana tidak mahu “menyinggung mana-mana pihak”.

Saintis politik dan aktivis sosial Chandra Muzaffar berkata, kebebasan bersuara dan berkongsi kepakaran adalah bahagian penting dalam DNA setiap IPT, dan ia perlu merangkumi wacana berbeza mengenai kaum dan agama dengan tidak mengganggunya.

“Sebaik-baiknya, keadaan itu boleh menjadikan institusi ini lebih bertolak ansur terhadap semua pandangan, jika ia berkaitan agama berlainan, bahkan pendapat berbeza dalam satu agama,” katanya kepada FMT.

Chandra Muzaffar.

Chandra berkata, penerokaan ke luar perlu digalakkan untuk memupuk pemikir kritis kerana ia adalah faktor penting dalam bidang akademik.

“Ia juga perlu mempunyai kesediaan untuk menerima kepelbagaian,” katanya sambil mengakui topik seperti kaum dan agama sukar dibincangkan secara terbuka disebabkan sensitiviti budaya.

“Walaupun terdapat percanggahan (pendapat), budaya yang penting adalah yang menggalakkan kesediaan untuk mendengar kerana ketika itulah pembelajaran benar-benar berlaku.”

Aktivis budaya dan profesor seni, Mohamad Ghouse Nasuruddin berkata, pelajar menjadi mangsa apabila institusi melaksanakan perspektif sempit ke atas mereka.

Mohamad Ghouse Nasuruddin.

“Universiti ialah tempat untuk meneroka dan mengembangkan pengetahuan, serta tempat di mana pelajar perlu menyelidiki bidang yang asing.

“Meluaskan persepsi dan pandangan hidup seseorang adalah bahagian penting dalam proses pendidikan. Kita tidak boleh menafikan peluang untuk berkongsi atau mendengar perspektif berbeza.”

Katanya, pandangan daripada semua agama perlu diterima secara bebas dan terpulang kepada pelajar untuk menentukan apakah yang dianggap berharga atau tidak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.