
Ketua Polis Daerah Baling, Shamsuddin Mamat berkata, dalam kejadian jam 4.30 petang itu, suspek mengunci pintu rumahnya dan melarang orang lain memasuki rumah tersebut sambil mengacukan dua bilah parang.
“Selepas menerima laporan daripada abang suspek, anggota polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran serta menahan suspek,” katanya menurut laporan Utusan.
Shamsuddin berkata, lelaki itu dipercayai membakar sebuah bilik di dalam rumah berkenaan dan menyebabkan kemusnahan hampir 40% bilik yang berkeluasan 3.66 meter lebar dan 3.66 panjang itu.
Dalam pada itu katanya, polis terpaksa memecahkan pintu rumah dengan bantuan bomba bagi menahan lelaki berkenaan.
“Suspek mengalami kecederaan kecil di kepala akibat pergelutan ketika ditahan dan polis merampas dua bilah parang yang dipegangnya,” katanya.
Katanya, lelaki itu yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dibawa ke Hospital Daerah Baling untuk rawatan dan direman empat hari bermula hari ini.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan khianat dengan api.