
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam kenyataan berkata, ketetapan itu diambil bagi membendung risiko penularan LSD dari negara jiran itu, demi kepentingan industri penternakan ruminan negara.
LSD dilaporkan menular ke lebih 41 wilayah di Thailand.
Sehubungan itu, jabatan berkenaan menyeru semua pemain industri (pengimport, peraih dan penternak) membatalkan tempahan dengan pihak pembekal lembu dan kerbau di Thailand.
“Pemain industri juga dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa veterinar di negeri dan daerah berdekatan sekiranya terdapat lembu dan kerbau di ladang/kandang menunjukkan gejala jangkitan LSD untuk tindakan kawalan dan pencegahan,” katanya.
Katanya, walaupun penyakit LSD tidak menjangkiti manusia, namun ia memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan ruminan dan kerugian akibat penurunan berat badan, penurunan pengeluaran susu, keguguran dan kemandulan pada ternakan yang terjangkit.
Tambahnya, pihaknya akan bekerjasama dengan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) untuk mempertingkatkan kawal selia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Selain itu, Jabatan Kastam serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) juga akan meningkatkan pemeriksaan di pintu masuk negara.