Majlis Agama Johor, Wilayah Persekutuan mohon mencelah rayuan kes ‘Allah’

Majlis Agama Johor, Wilayah Persekutuan mohon mencelah rayuan kes ‘Allah’

Peguam mewakili wanita Sarawak, Jill Ireland berkata, pihaknya akan membantah permohonan berkenaan.

Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan kerajaan terhadap keputusan membenarkan Jill Ireland menggunakan buku serta CD yang mengandungi perkataan ‘Allah’ untuk tujuan pendidikan agama.
PUTRAJAYA:
Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Wilayah Persekutuan (MAIWP) memfailkan permohonan untuk mencelah dalam rayuan kerajaan terhadap keputusan mahkamah rendah berhubung penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam pendidikan agama Kristian seorang wanita Sarawak, Jill Ireland.

Peguam Annou Xavier yang mewakili Ireland berkata, pihaknya menerima permohonan mencelah kedua-dua pihak berkenaan.

“Kami akan membantah permohonan itu,” katanya.

Menurutnya, Mahkamah Rayuan menetapkan 12 Julai untuk pengurusan kes sementara membolehkan Ireland memfailkan afidavit bantahan terhadap permohonan MAINJ serta MAIWP itu.

Ini adalah percubaan kedua MAIWP untuk mencelah dalam kes berkenaan.

Sebelum ini, MAIWP memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi untuk menjadi responden bersama kerajaan dalam saman yang difailkan Ireland.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi hanya membenarkannya bertindak sebagai ‘amicus curiae’ (sahabat mahkamah) bagi membantu sekiranya memerlukan pendapat pakar mengenai isu dibincangkan.

Peguam MAIWP, Fakhrul Azwan Abu Hasan berkata, pihaknya menerima arahan untuk memfailkan permohonan mencelah sekali lagi di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi dalam keputusannya awal tahun ini memutuskan Ireland boleh menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam pendidikan agamanya.

Hakim Nor Bee Ariffin berkata, arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Beliau berkata, Ireland mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan dan memetik sebarang penerbitan bagi tujuan pendidikan agamanya.

Katanya, masyarakat Kristian di Sarawak dan Sabah juga sudah menggunakan perkataan Allah sejak kira-kira 400 tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.