98 anak kapal KD Mahawangsa disahkan positif Covid-19, kata Ismail Sabri

98 anak kapal KD Mahawangsa disahkan positif Covid-19, kata Ismail Sabri

Kementerian Pertahanan mengesahkan seramai 98 kru Kapal Diraja (KD) Mahawangsa positif Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini semua anak kapal terlibat tidak mengalami sebarang simptom dan mereka telah diasingkan dan kini menjalani kuarantin. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pertahanan mengesahkan seramai 98 kru Kapal Diraja (KD) Mahawangsa positif Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, semua anak kapal berkenaan menjalani ujian RTK-Antigen Covid-19 sebelum menaiki kapal berkenaan dan didapati negatif.

“Selepas berada beberapa hari di dalam kapal mereka didapati positif, setakat ini semua anak kapal terlibat tidak mengalami sebarang simptom dan mereka telah diasingkan dan kini menjalani kuarantin.

“Insya-Allah selepas 10 hari mereka akan menjalani ujian PCR dan jika negatif mereka akan dibenarkan keluar,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin Pandu Lalu Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba dan Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang.

Ismail Sabri berkata, pihaknya belum dapat memastikan bagaimana anak kapal KD berkenaan dijangkiti virus Covid-19.

“Seperti kita tahu, Covid-19 kini berada dalam komuniti, anak kapal ini dijangkiti Covid-19 sebelum mereka pergi belayar, mungkin ketika mereka berada di rumah atau ketika keluar membeli barang di kedai,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya sedang dalam perbincangan dengan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 Kebangsaan untuk membenarkan Kementerian Pertahanan mendapatkan bekalan vaksin secara terus daripada Pharmaniaga Berhad yang bertanggungjawab membotolkan vaksin jenama Sinovac.

Beliau berkata, dengan kaedah itu, imuniti berkelompok bagi anggota tentera, kakitangan awam yang bekerja di Kementerian Pertahanan dan keluarga dapat dicapai dengan segera.

“Secara amnya kita mempunyai seramai 500,000 orang anggota, termasuk keluarga mereka, kita sasarkan seramai 200,000 orang menerima vaksin sebulan dan mencapai imuniti dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.