
Dalam satu kenyataan Yeo berkata, kerajaan berulang kali mengumumkan negara akan mencapai sasaran 150,000 dos sehari menjelang Jun, namun sehingga minggu pertama Jun, sasaran itu masih belum dicapai.
“Untuk mencapai purata 150,000 dos sehari pada Jun, kita perlu meningkatkan kadar vaksinasi menjadi 168,244 dos sehari untuk hari yang masih berbaki dalam bulan ini,” katanya.
Yeo juga berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan muslihat yang sama hanya dengan mengumumkan kadar vaksinasi pada hari ketika jumlahnya tinggi, tetapi senyap pada hari yang rendah.
Jelasnya, beliau akan terus memantau setiap hari bagi memastikan kadar vaksinasi purata 150,000 dos sehari pada bulan Jun akan dicapai.
Baru-baru ini, Khairy mengumumkan negara akan menerima hampir 16 juta lagi dos vaksin Covid-19 menjelang Julai.
Ini termasuk 12 juta dos vaksin Sinovac, 2.2 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech dan 1.2 juta dos vaksin AstraZeneca.
Katanya, dengan bekalan vaksin yang ada, kadar vaksinasi dijangka meningkat menjadi 150,000 suntikan sehari menjelang Jun.