Tahanan reman bekas pemimpin STAR didakwa cabul Unduk Ngadau dilanjutkan

Tahanan reman bekas pemimpin STAR didakwa cabul Unduk Ngadau dilanjutkan

Bekas pemimpin parti STAR terbabit sebelum ini direman empat hari selepas diberkas polis di pejabatnya, di sini, pada 3 Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali mengesahkan lanjutan reman suspek sehingga 9 Jun ini. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Tahanan reman seorang ahli politik yang didakwa mencabul salah seorang peserta Ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau, baru-baru ini, disambung tiga hari lagi iaitu sehingga 9 Jun.

Individu terbabit yang juga bekas pemimpin parti STAR, sebelum ini ditahan reman selama empat hari selepas diberkas polis di pejabatnya, di sini, pada 3 Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali ketika mengesahkan lanjutan tahanan reman itu dan berkata suspek kini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

“Tahanan reman ini dilanjutkan bagi tujuan siasatan lanjut sebelum tindakan selanjutnya dilakukan termasuk kemungkinan mendakwanya di mahkamah.

“Setakat ini, kes masih disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan jika disabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan,” katanya.

Sementara itu, difahamkan beberapa lagi laporan polis turut dibuat terhadap suspek.

Baru-baru ini, satu laporan polis telah dibuat oleh salah seorang peserta Unduk Ngadau peringkat negeri yang mendakwa diraba di paha, belakang badan, leher, dan tangannya ketika menaiki kenderaan milik suspek.

Laporan polis yang bertarikh 21 Mei itu juga turut viral di media sosial termasuk di Facebook dan Whatsapp.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.