
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan 5 petang oleh pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Daerah Iskandar Puteri itu, sembilan lelaki Korea Selatan dan seorang warga tempatan yang berusia 29 hingga 66 tahun ditahan.
Katanya, serbuan dan tangkapan ini adalah yang pertama seumpamanya di Johor membabitkan pengoperasian pusat panggilan judi atas talian yang dikendalikan warga Korea Selatan.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati semua suspek dari Korea Selatan itu berperanan sebagai pelayan perkhidmatan pelanggan, manakala lelaki tempatan itu menjadi “runner” yang menyediakan tempat tinggal dan makanan kepada mereka.
“Sindiket ini menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi perjudian dalam talian sejak dua tahun lalu dan semua transaksi dibuat ke akaun bank yang berpusat di Korea Selatan.
“Modus operandi sindiket ini adalah memasuki Malaysia sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) Mac tahun lalu, iaitu Disember 2019 dan awal 2020 sebagai pelancong menggunakan pas lawatan sosial,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa set komputer, wang tunai bernilai RM36,000, wang Korea Selatan bernilai 7.7 juta Won (RM28,604) dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM150,000.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka, Seksyen 15(1) dan 6(1) Akta Imigresen serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.