Percepat vaksinasi untuk guru tabika dan berkeperluan khas, kerajaan diberitahu

Percepat vaksinasi untuk guru tabika dan berkeperluan khas, kerajaan diberitahu

Dr Pamela Yong dari MCA berkata ramai kanak-kanak ini bergelut untuk mematuhi SOP, dan guru perlu berada dekat untuk mengajar mereka.

Timbalan Setiausaha Agung MCA Dr Pamela Yong berkata adalah lebih ideal jika semua 500,000 guru diberi dos kedua sebelum sekolah dibuka semula.
PETALING JAYA:
Cabaran unik yang dihadapi pendidik murid prasekolah dan berkeperluan khas menjadikan guru golongan itu perlu divaksin dengan cepat, kata timbalan setiausaha agung MCA, Dr Pamela Yong.

Yong, yang juga ketua Wanita MCA Sabah, berkata memberi imunisasi awal kepada pendidik kumpulan itu perlu diutamakan kerana gaya pengajaran yang diperlukan untuk memenuhi keperluan murid tersebut.

“Anak-anak ini sama ada terlalu kecil, atau tidak mampu memahami SOP, kebersihan diri, atau jarak sosial dengan betul. Tambahan pula, sifat pekerjaan ini memerlukan guru berada dekat dengan mereka pada kebanyakan masa.

“Tidak seperti sekolah, guru prasekolah tidak dapat mengajar dengan berkesan melalui pembelajaran di rumah (PdPR), kerana itu guru yang sudah divaksin wajar menjadi prasyarat prasekolah dan institusi pendidikan khas dibuka semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga semalam, Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata lebih 70,000 guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, iaitu hanya segelintir daripada setengah juta yang disenaraikan sebagai penerima vaksin Tahap 2 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Tambah Yong “masih banyak yang perlu dilakukan” untuk mencapai sasaran 500,000 guru yang sebelumnya telah ditetapkan oleh menteri penyelaras pemberian vaksin, Khairy Jamaluddin.

“Adalah lebih ideal, jika semua 500,000 guru menerima dos kedua sebelum sekolah dibuka semula untuk mengelakkan penularan antara pelajar dan guru.”

Untuk mencapainya, beliau mendesak kerajaan mempercepat vaksinasi guru secara lebih meluas, terutama dengan peningkatan jumlah kanak-kanak yang dijangkiti malah mati akibat Covid-19 kebelakangan ini.

Khamis lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada Mei tahun ini, tiga kanak-kanak meninggal dunia akibat virus tersebut, setara dengan jumlah yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.

“Walaupun guru mungkin tidak diiktiraf secara formal sebagai barisan hadapan, mereka menghabiskan sehingga enam jam atau lebih setiap hari dengan kanak-kanak ini. Sumbangan guru tidak pernah dipertikaikan, dan kita seharusnya tidak mengecewakan mereka,” kata Yong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.