Kerap tukar SOP cerminkan GRS tiada hala tuju jelas perangi Covid-19, kata ahli parlimen pembangkang

Kerap tukar SOP cerminkan GRS tiada hala tuju jelas perangi Covid-19, kata ahli parlimen pembangkang

Pindaan terhadap SOP yang baru beberapa minit diumumkan juga mengakibatkan rakyat keliru seterusnya hilang kepercayaan.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin menyifatkan sekatan yang dikenakan umpama ‘menandatangani sijil kematian’ peniaga.
KOTA KINABALU:
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, tindakan kerajaan negeri yang kerap mengubah prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh yang singkat mencerminkan mereka tiada hala tuju jelas dalam memerangi pandemik Covid-19 di Sabah.

Katanya, tindakan membuat pindaan terhadap SOP yang baru beberapa minit diumumkan juga mengakibatkan rakyat keliru seterusnya hilang kepercayaan kepada kerajaan yang kini diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

”Saya percaya kebanyakan rakyat Sabah sedia bekerjasama dengan kerajaan untuk memerangi wabak Covid-19 dengan mematuhi segala SOP yang ada.

”Bagaimanapun, SOP terlalu kerap dikemas kini dan ia sama sekali tidak membantu rakyat.

”Situasi juga menjadi lebih teruk apabila SOP yang dikemas kini diumumkan hanya selepas kira-kira 10 minit daripada SOP yang diumumkan lebih awal, ia satu tindakan ‘U-turn’ drastik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Chan memetik kejadian terbaru semalam apabila kerajaan mengumumkan operasi perniagaan di Sabah diseragamkan dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Bagaimanapun, katanya, SOP itu dipinda beberapa minit kemudian dengan semua operasi perniagaan dibenarkan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang, manakala operasi pasar awam dan pasar harian dikekalkan dari jam 6 pagi hingga 3 petang.

Sementara itu, beliau berkata, walaupun SOP terbaru itu baik, ia mewujudkan ketidakadilan terutama kepada industri makanan dan minuman, kerana kebanyakan pengusaha kedai kopi serta restoran kehilangan hasil jualan pada waktu puncak termasuk ketika tempoh sarapan.

”Mengehadkan masa dengan hanya membenarkan mereka memulakan perniagaan pada jam 9 pagi seakan-akan memberitahu mereka supaya ‘menyerah kalah’ dalam berniaga pada waktu kebanyakan orang terutama pekerja membeli sarapan, iaitu bermula jam 6 hingga 9 pagi.

”Ini juga menyaksikan hanya penjaja makanan yang berniaga di dalam pasar saja dibenarkan menjual makanan serta minuman untuk sarapan, sedangkan tidak semua peniaga makanan untuk sarapan berniaga di dalam pasar.

”Sebagai contoh peniaga makanan di pasar Lido yang biasanya berniaga pada waktu malam. Sekatan yang dikenakan umpana ‘menandatangani sijil kematian’ bagi mereka,” katanya.

Chan berkata, industri makanan dan minuman ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu, diklasifikasikan sebagai perkhidmatan perlu, namun ketika keadaan pandemik bertambah teruk, mekanisme untuk mengawal orang ramai daripada berkumpul menyebabkan pelanggan tidak dibenarkan duduk makan sebaliknya hanya boleh membungkuskan makanan.

Katanya, selepas keadaan bertambah baik, kerajaan kemudian membenarkan semula duduk makan dengan beberapa peraturan termasuk hanya dua orang dalam satu meja.

”Langkah ini berkesan dalam menghalang orang ramai berkumpul terlalu ramai.

”Bagaimanapun, pada masa kini dengan menggunakan perkataan ‘total lockdown’, industri makanan dan minuman terjejas. Saya ingin bertanya, sekarang ini ‘dine in’ adalah dilarang tetapi mengapakah mengganggu jadual perniagaan mereka?

”Adakah kerajaan pada hari ini berpendapat Covid-19 mempunyai jadual waktu jangkitan atau mula ‘menyerang’ orang bermula jam 6 petang hingga 6 pagi?” katanya.

Sehubungan itu, beliau merayu kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mengkaji semula waktu operasi perniagaan kedai kopi dan restoran.

”Larangan ‘dine in’ telah dilaksanakan, jadi tidak akan berlaku orang ramai berkumpul di dalam restoran atau kedai kopi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.