
Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan tiga jam bermula kira-kira 11 malam itu, 202 warga asing dari Indonesia, Myanmar, Pakistan, Bangladesh, Pakistan serta India yang berusia 23 hingga 50 tahun diperiksa, termasuk 12 wanita dan dua kanak-kanak di bawah empat tahun.
Daripada jumlah itu, katanya, 156 orang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan mereka dibawa ke pusat saringan Jabatan Imigresen di Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, serbuan ke atas penempatan haram yang turut mempunyai kedai kopi dan gunting rambut itu dijalankan dengan kerjasama pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Tenaga Kerja, hasil risikan selama tiga bulan.

“Penempatan ini berpotensi menjadi punca penularan Covid-19 kerana tiada pematuhan SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) seperti penjarakan fizikal dan melakukan aktiviti berkumpulan,” katanya kepada Bernama dalam sidang media selepas operasi itu.
Dalam perkembangan lain, Dzaimee menafikan dakwaan pihaknya hanya mengambil tindakan terhadap pendatang tanpa izin, namun tidak menahan atau mendakwa majikan di mahkamah.
“Dakwaan ini tidak benar kerana pada 2019, seramai 1,059 majikan yang kita hadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dengan jumlah denda RM19.3 juta.”
Tahun lalu, katanya, 130 majikan dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan membabitkan denda lebih RM10 juta.
Sepanjang lima bulan tahun ini, beliau berkata, 130 majikan didakwa dengan denda berjumlah RM3.2 juta.